Menjelang musim Hari Raya, hidangan tradisional seperti nasi impit atau ketupat nasi sememangnya tidak pernah lekang di meja. Namun begitu, antara masalah utama sering dihadapi ramai adalah nasi impit cepat basi, walaupun baru beberapa jam disediakan.
Baca juga: Senarai Penuh Barangan Harga Terkawal Sempena Hari Raya, Peniaga Jangan Suka-Suka ‘Main Harga’!
PETUA ELAK NASI IMPIT/KETUPAT NASI CEPAT BASI

Baru-baru ini, seorang pengguna media sosial berkongsi satu tip ringkas tetapi sangat berguna untuk memastikan nasi impit tahan lebih lama. Perkongsian ini mencuri perhatian kerana caranya yang mudah, namun sering terlepas pandang oleh kebanyakan orang.
Menurut individu tersebut, langkah penting yang perlu dilakukan adalah membilas ketupat nasi selepas selesai direbus. Kebiasaannya, ramai terus menyejukkan atau menyimpan nasi himpit tanpa membersihkannya terlebih dahulu.
Jelasnya, selepas nasi impit direbus, ia perlu dibilas dengan air paip bagi menghilangkan lendir yang terdapat pada bahagian luar plastik. Lendir tersebut sebenarnya adalah kanji daripada nasi yang boleh menjadi punca utama ia cepat basi.
“Selepas rebus, bilas dengan air paip, basuh lendir-lendir di luar plastik nasi himpit itu. Lendir tersebut kanji nasi yang buatkan dia cepat basi. Kena basuh dulu buang lendir, baru tos keringkan dalam penapis,” katanya dalam perkongsian tersebut.

Selepas proses membilas, nasi impit perlu ditos sehingga kering menggunakan penapis. Langkah ini penting bagi memastikan tiada lebihan air yang boleh mempercepatkan proses basi.
Tip mudah ini bukan sahaja membantu memanjangkan jangka hayat nasi impit, malah memastikan ia kekal segar dan selamat dimakan untuk tempoh lebih lama.
Selain itu, petua ini juga sesuai diamalkan bagi mereka yang ingin membuat persiapan awal juadah tanpa perlu risau makanan cepat rosak.
Perkongsian ini sekali lagi membuktikan bahawa tip dapur yang ringkas mampu memberi kesan besar jika diamalkan dengan betul. Semoga bermanfaat!
Baca juga: Step-By-Step Buat Biskut Jejari Coklat Guna Roti, Hanya 3 Bahan Dah Jadi Kudapan Raya!
Sumber: Threads Oceankin.my
