Hari Raya Aidilfitri sememangnya sinonim dengan pelbagai juadah raya tradisional yang enak seperti rendang, kuah kacang, serunding, sambal goreng dan pelbagai lauk bersantan.
Dalam keseronokan menikmati hidangan dari pagi hingga malam, ramai yang tidak menyedari bahawa pengambilan garam juga boleh meningkat dengan ketara!
Baca juga: Selain Lemang & Ketupat, Ini 7 Menu Raya Dari Luar Negara Yang Unik Sampai Terliur Dibuatnya!
PETANDA BADAN TERLEBIH GARAM AKIBAT MAKAN JUADAH RAYA

Foto: Freepik
Garam memainkan peranan penting dalam tubuh kerana membantu fungsi saraf, otot serta mengekalkan keseimbangan cecair. Namun, pengambilannya perlu dikawal supaya tidak memberi kesan buruk kepada kesihatan.
Persoalannya, bagaimana untuk mengenal pasti jika badan telah menerima garam secara berlebihan selepas beberapa hari beraya? Berikut merupakan tanda yang perlu diberi perhatian.
1. Kerap berasa dahaga
Jika sering berasa haus walaupun sudah minum air, keadaan ini mungkin disebabkan kandungan sodium yang tinggi dalam badan. Tubuh memerlukan lebih banyak air untuk mencairkan lebihan garam dalam darah.
Keadaan ini sering berlaku selepas menikmati makanan seperti rendang, sambal goreng, serunding atau lauk yang dimasak dengan kicap dan perencah segera.
2. Perut terasa kembung selepas makan juadah raya
Rasa kembung selepas makan mungkin bukan sekadar kenyang. Apabila pengambilan garam meningkat, badan akan menyimpan lebih banyak air bagi mengekalkan keseimbangan. Ini menyebabkan perut terasa penuh dan tidak selesa.
Makanan seperti kuah kacang, lontong atau nasi impit dengan lauk berkuah yang pekat merupakan punca dari petanda ini.
3. Bahagian badan kelihatan bengkak
Pengambilan garam berlebihan boleh menyebabkan bengkak pada beberapa bahagian badan seperti wajah, tangan, kaki dan buku lali. Keadaan ini berlaku kerana tubuh menahan air untuk mengekalkan keseimbangan sodium.
Antara sebabnya termasuk lauk raya yang masin seperti daging dendeng, ayam masak kicap atau makanan diproses seperti keropok dan makanan ringan yang dihidangkan ketika beraya.
4. Tekanan darah meningkat
Lebihan garam dalam pemakanan harian boleh menyukarkan buah pinggang menyingkirkan cecair berlebihan. Akibatnya, cecair terkumpul dalam badan dan menyebabkan tekanan darah meningkat. Jika berterusan, keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok.
Pengambilan hidangan yang berulang seperti rendang, sambal dan lauk berempah yang tinggi garam merupakan punca kepada ini.
5. Lebih kerap membuang air kecil
Jika diri lebih kerap ke tandas, ia mungkin berkait dengan pengambilan garam yang tinggi. Kajian mendapati bahawa pengurangan garam dalam pemakanan harian boleh membantu mengurangkan kekerapan membuang air kecil.
Situasi ini boleh berlaku apabila seseorang kerap menikmati makanan raya sepanjang hari tanpa terkawal.
6. Mudah berasa letih selepas makan juadah raya

Foto: Gemini AI
Pengambilan garam yang berlebihan boleh menyebabkan badan bekerja lebih keras untuk menyeimbangkan cecair dan menyingkirkan lebihan sodium. Keadaan ini boleh membuatkan seseorang berasa letih dan kurang bertenaga.
Ditambah pula dengan pengambilan makanan berat seperti nasi impit, lontong dan pelbagai lauk berlemak, badan menjadi lebih mudah lesu.
7. Berat badan meningkat secara mendadak
Kenaikan berat badan dalam tempoh singkat juga boleh berlaku akibat penahanan air dalam badan. Jika berat meningkat secara mendadak dalam beberapa hari, ia mungkin berkait dengan pengambilan garam yang berlebihan.
Amalan makan pelbagai juadah seperti rendang, kuah kacang dan makanan ringan sepanjang ziarah boleh menyumbang kepada perubahan ini.
Menikmati juadah raya adalah satu tradisi yang tidak dapat dipisahkan. Namun, pengambilan garam secara sederhana amat penting bagi menjaga kesihatan.
Jika terdapat tanda seperti di atas, kurangkan makanan tinggi garam, minum air secukupnya dan seimbangkan dengan pemakanan yang lebih sihat!
Baca juga: Masih Terfikir Nak Masak Apa Raya Nanti? Ini 30 Himpunan Idea Untuk Anda, Confirm Tetamu Suka!
Sumber: WebMD
FT Images: Gemini AI dan Freepik
