Dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan negara serta mengurangkan beban tugas guru, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneruskan inisiatif pelantikan pengawas peperiksaan SPM 2025 daripada kalangan orang awam.
Langkah ini selaras dengan Tujuh Teras Nadi Keunggulan KPM, yang menekankan kecekapan pentadbiran, kesejahteraan warga pendidikan, dan penglibatan masyarakat dalam memperkukuh ekosistem pendidikan negara. Jom mohon!
TAWARAN SEBAGAI SUKARELAWAN PENGAWAS PEPERIKSAAN SPM 2025, ORANG AWAM DIPELAWA!

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan (LP), peperiksaan bertulis SPM bagi tahun 2025 dijadualkan bermula pada November 2025. Justeru, LP kini membuka peluang kepada orang awam yang berminat untuk menjadi pengawas peperiksaan bagi membantu memastikan perjalanan peperiksaan berjalan lancar dan telus.
Program ini dijalankan berasaskan prinsip sukarelawan, dengan elaun harian dibayar mengikut kadar semasa bagi bukan penjawat awam. Antara tanggungjawab utama sukarelawan ialah:
- Memantau perjalanan peperiksaan di pusat-pusat peperiksaan terpilih,
- Memastikan peraturan peperiksaan dipatuhi sepenuhnya, dan
- Menyokong urusan logistik peperiksaan di bawah seliaan pengurusan LP dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
- Pelantikan akan dibuat berdasarkan kekosongan dan kelayakan yang ditetapkan.
Siapa layak memohon? Tawaran terbuka kepada individu daripada pelbagai latar belakang, termasuk:
- Pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), dan Institut Pendidikan Guru (IPG),
- Lepasan Asasi atau Matrikulasi,
- Pesara kerajaan atau swasta, serta
- Kakitangan bukan kerajaan yang berminat menyumbang kepada sistem pendidikan.
Calon yang ingin memohon perlu memenuhi syarat berikut:
- Berumur 18 hingga 65 tahun;
- Sihat tubuh badan dan tiada penyakit kronik;
- Bebas daripada sebarang rekod jenayah atau tindakan mahkamah;
- Bermastautin dalam daerah yang sama (tidak lebih 25km dari pusat peperiksaan); dan
- Mempunyai pengangkutan sendiri untuk ke lokasi bertugas.
MACAM MANA CARA NAK MOHON?

Foto: THE NEW STRAITS TIMES PRESS (M) BHD
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi e-Lembaga Peperiksaan Malaysia di pautan berikut https://elp.moe.gov.my
Langkah permohonan:
- Layari laman web dan daftar sebagai pengguna baharu.
- Pilih ikon “Sukarelawan” di laman utama.
- Isi maklumat diri dengan lengkap.
- Hantar permohonan dan tunggu panggilan temuduga di Pejabat Pendidikan Daerah berdekatan (bagi calon yang disenarai pendek).
Pemohon yang berjaya akan menerima surat tawaran rasmi dan perlu menjawab dalam tempoh masa ditetapkan. Sekiranya tiada maklum balas diterima dalam tempoh sebulan selepas tarikh tutup permohonan, ia dianggap tidak berjaya.
Segala kos berkaitan proses permohonan adalah di bawah tanggungan pemohon sendiri.
*Langkah melibatkan orang awam sebagai pengawas peperiksaan ini bukan sahaja membantu meringankan beban guru, malah memperkukuh hubungan antara masyarakat dan sistem pendidikan negara. Ia juga membuka peluang kepada rakyat untuk menyumbang secara langsung kepada pelaksanaan peperiksaan awam terpenting di Malaysia. Selamat mencuba!
Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia
