Walaupun isu poligami di Malaysia masih menjadi topik yang hangat untuk dibincangkan namun kini lebih mudah untuk orang Islam di Melaka yang bercadang untuk berpoligami.
Ini kerana, kerajaan negeri Melaka mempercepatkan proses kelulusan, yang sebelum ini makan masa berbulan-bulan, kepada hanya 21 hari!
POLIGAMI DI MALAYSIA: MELAKA PERCEPATKAN PROSES KELULUSAN

Foto: BERNAMA
Menurut laporan BERNAMA, proses poligami ini akan mendapat kelulusan cepat asalkan semua syarat dipenuhi dan dokumen lengkap. Inisiatif ini dibuat bagi memudahkan urusan rakyat, dengan kerjasama Mahkamah Syariah Melaka.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata inisiatif ini merupakan satu pembaharuan hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan Mahkamah Syariah Melaka.
“Sekiranya permohonan poligami dibuat dengan memenuhi semua syarat yang ditetapkan, kelulusan boleh diperolehi dalam tempoh 21 hari.
“Sebelum ini, proses tersebut mengambil masa berbulan-bulan, namun kini kita telah melakukan penambahbaikan supaya ia dapat diselesaikan dalam masa lebih singkat, asalkan semua dokumen yang diperlukan lengkap,” katanya kepada pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, hari ini.
JANGAN NIKAH SINDIKET…

Foto hiasan.
Dalam perkembangan berkaitan, Rahmad turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam pernikahan sindiket kerana ia boleh menimbulkan pelbagai masalah pada masa depan.
Beliau menjelaskan bahawa pernikahan secara sindiket sukar untuk didaftarkan secara sah, sekali gus menjejaskan hak anak-anak yang tidak dapat dibinkan kepada nama bapa.
“Akhirnya, anak-anak ini akan menghadapi kesukaran untuk bersekolah dan mendapatkan pekerjaan kelak… Oleh itu, jangan sekali-kali bernikah melalui sindiket,” katanya.
*Alasan kena kukuh kalau nak poligami pun ya!
Baca juga: Peguam Jelas Syarat Poligami Di Malaysia, Minta Kebenaran Isteri Pertama TAK WAJIB
Sumber: BERNAMA
