Euforia Bola 2026
Famili

Ramai Pengembara Keliru Insiden Kad Pokémon Dirampas, Ini Cara Mudah Faham Peraturan Cukai Kastam Malaysia

cukai kastam

Perdebatan tentang cukai kastam kembali hangat, selepas kes rampasan ratusan kad Pokémon di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi tular dalam kalangan rakyat Malaysia. Ramai mula mempersoalkan barangan apa sebenarnya yang wajib diisytiharkan apabila tiba di tanah air, dan apa pula yang dikecualikan.

Menurut Kastam Diraja Malaysia (JKDM), kekeliruan ini bukan perkara baharu dan sudah lama mengundang salah faham dalam kalangan pengembara.

Baca juga: Penuntut IPT Berdepan 2 Pertuduhan, Mengaku Tak Bersalah Buat Perlakuan Intim Dengan Calon SPM Dalam Myvi

MAKLUMAT PERATURAN CUKAI KASTAM MALAYSIA PENGEMBARA PERLU TAHU

cukai kastam

Gambar Facebook Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura: Antara kad Pokemon tidak diisytiharkan milik lelaki warga Singapura yang bernilai S$30,000 (kira-kira RM105,000).

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin, menjelaskan bahawa hampir semua barangan yang dibawa masuk ke Malaysia adalah tertakluk kepada cukai, kecuali kategori tertentu yang memang diberikan pengecualian.

Beliau menegaskan bahawa barangan peribadi bukan alasan automatik untuk bebas cukai. Jika ia pembelian baharu dari luar negara dan melepasi had ditetapkan, ia tetap perlu diisytiharkan.

Kes tular melibatkan seorang lelaki Singapura berusia 25 tahun menunjukkan realiti ini. Dalam begnya terdapat kad Pokémon bernilai lebih RM100,000 yang dipercayai untuk koleksi dan jual semula.

Walaupun beliau mendakwa tiada apa untuk diisytiharkan, kad tersebut tetap dirampas dan dirujuk kepada kastam untuk siasatan lanjut.

Baca juga: Wah, ETS Dah Sampai Johor Bahru! Cepat Beli Boleh Dapat Diskaun 30% Perjalanan Mulai Jumaat Ini Hingga 11 Januari

Di Malaysia, persoalan utama yang timbul adalah, “Apakah sebenarnya barangan pengembara yang dikenakan cukai?”

Menurut Anis, semua barangan import adalah tertakluk kepada duti import, duti eksais dan cukai jualan kecuali yang berada dalam perintah pengecualian tertentu seperti:

  1. Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017
  2. Perintah Duti Eksais (Pengecualian) 2017
  3. Perintah Cukai Jualan (Orang Dikecualikan Daripada Pembayaran Cukai) 2018

Ia menetapkan kelayakan, jenis barangan yang diliputi, had nilai serta kuantiti yang dibenarkan dan hanya terpakai kepada barangan bukan komersial bagi pengembara melalui udara, darat atau laut.

Untuk pengembara udara, beberapa barangan diberikan kelonggaran bebas cukai:

  • satu liter minuman beralkohol
  • tiga helai pakaian baharu
  • sepasang kasut baharu
  • barangan makanan hingga bernilai RM150

Selain itu, hanya nilai RM1,000 pertama barangan lain diberi pengecualian. Jika melebihi, lebihan nilai akan dikenakan duti sekitar 10 peratus.

cukai kastam

Gambar Aizuddin Saad (NSTP): Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.

Kad vs Kastam

Kad koleksi seperti Pokémon, kad sukan atau kad hobi lain pula diklasifikasikan sebagai playing cards. Sekiranya nilainya melepasi RM1,000, ia dikenakan tiga jenis cukai iaitu:

  1. duti import 10 peratus
  2. duti eksais 10 peratus
  3. cukai jualan 10 peratus

Ini terpakai walaupun pemilik menganggap ia barangan peribadi.

Isytihar dulu, pertikai kemudian

Ramai pengembara sering terlepas pandang keperluan mengisytiharkan barangan yang dibeli. Menurut Anis, pengisytiharan adalah kewajipan bawah Akta Kastam 1967 dan Peraturan-Peraturan Kastam 2019.

Kegagalan mengisytiharkan barangan bercukai, barangan larangan atau lebihan mata wang boleh membawa kepada rampasan serta siasatan. Antara barangan paling kerap dirampas kerana tidak diisytiharkan termasuk:

  • beg tangan berjenama
  • pakaian premium
  • barang kemas
  • kosmetik
  • elektronik baharu
  • jam tangan
  • hadiah dari luar negara

Sebelum berlepas semak peraturan

Beliau turut mengingatkan, lorong hijau kastam bukan laluan bebas risiko. Ia diwujudkan untuk mempercepatkan pergerakan pengembara yang membawa barangan dalam had bebas cukai. Namun, pemeriksaan masih boleh dijalankan jika perlu.

Maka disebabkan itu, pengembara digalakkan membuat semakan awal melalui panduan rasmi JKDM atau talian pusat panggilan 1300-888-500.

“Adalah menjadi tanggungjawab setiap pengembara untuk memahami undang-undang negara yang mereka masuki. Semakan proaktif seharusnya menjadi kebiasaan,” jelasnya lagi.

JKDM kini turut memperluas usaha kesedaran bersama beberapa agensi termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen, Bank Negara Malaysia dan pemain industri.

Selain itu, sistem eCustoms Traveller sedang dibangunkan bagi memudahkan pengisytiharan dan pembayaran cukai secara digital.

Kesimpulannya, isu cukai dan pengisytiharan bukan lagi perkara kecil. Pengembara perlu peka terhadap peraturan supaya tidak berdepan denda mahupun rampasan. Jika ragu-ragu, pilih untuk berisytihar dahulu. Lebih selamat, lebih tenang di pintu masuk negara.

Baca juga: Senarai 24 Hotel Di Negeri Sembilan Miliki Sijil Halal Malaysia, Senang Nak Buat ‘Event’ Tanpa Was-Was!

Sumber: Berita Harian

FT Image: Ida Marie Odgaard/Ritzau Scanpix/AFP/Getty Images / Mohd Fadli Hamzah (NSTP)

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×