Kebelakangan ini, pelbagai insiden melibatkan pelajar sekolah tular di media sosial namun dalam usaha mencari punca, penting untuk kita menilai semula peranan ibu bapa dalam mendidik anak dan bukan sekadar menyalahkan pihak sekolah semata-mata.
Dalam ribuan reaksi di media sosial, muncul satu isu menekankan bahawa tidak wajar hal sedemikian disandarkan kepada sistem pendidikan atau kerajaan, tetapi perlu dilihat dari sudut peranan ibu bapa sendiri.
Baca juga: Anak Lahir Normal Tapi Lepas Kerap Jatuh, Berubah Jadi ‘Istimewa’! Jangan Abaikan Risiko Ini
PERANAN IBU BAPA DIDIK ANAK, JANGAN SALAHKAN SEKOLAH

Dalam dunia yang semakin terdedah kepada pelbagai pengaruh, rumah tangga dan institusi keluarga kekal sebagai benteng utama dalam membentuk sahsiah anak-anak.
Ramai ibu bapa hari ini meletakkan sepenuh kepercayaan kepada sistem pendidikan dan guru untuk membentuk akhlak anak-anak. Sedangkan pendidikan akhlak dan nilai-nilai asas bermula di rumah.
Ada ibu bapa yang tidak tahu siapa rakan anak mereka, tidak pernah semak telefon anak dan tidak ambil tahu apa yang anak tonton, baca atau bincangkan di media sosial.
“Jujur cakap, masih ramai ibu bapa yang bersikap lepas tangan dan mengambil mudah soal pemantauan terhadap anak-anak. Malah, ada juga ibu bapa yang langsung tidak mengenali rakan-rakan anak mereka sendiri.
“Sekurang-kurangnya, apabila anak-anak sudah memasuki usia remaja, ibu bapa perlu tahu dengan siapa mereka berkawan. Jika ikut cara ibu bapa saya dahulu, nombor telefon ibu bapa kepada rakan-rakan saya pun mereka simpan. Mereka benar-benar ambil tahu.
“Terus terang, ada remaja yang dibesarkan dalam keluarga yang berpecah-belah atau tidak stabil. Mereka tidak mempunyai sesiapa yang benar-benar mengambil berat tentang mereka. Anak-anak ini, selain menjadi rezeki, sebenarnya juga merupakan satu ujian besar buat kita,” komen pengguna media sosial.
Peranan sekolah dan guru memang penting, tetapi mereka bukan satu-satunya pihak yang bertanggungjawab mendidik. Tugas mendidik tentang batas pergaulan, hormat, nilai agama dan tanggungjawab sosial perlu digalas oleh ibu bapa terlebih dahulu.
Pendidikan bukan sekadar soal pencapaian akademik, ia merangkumi pembinaan jati diri, nilai hidup dan kemampuan membuat keputusan yang betul dalam situasi mencabar. Semua ini perlu dimulakan lebih awal, bukan hanya apabila anak sudah remaja.
“Salah didikan di rumah, ibu bapa pun sibuk dengan gajet, anak-anak dibiarkan tanpa pemantauan,” tulis pengguna Instagram yang lain.
Baca juga: Tular Terapi Bedung ‘Konon’ Boleh Rawat Anak Lambat Bercakap, Pakar Tegur Semua Ini Tak Masuk Akal!
Sumber: Instagram
