Di sebalik senyuman seorang anak kecil bernama Nur Qistina, tersimpan satu kisah perjuangan yang bukan calang-calang. Kisah mengenai penyakit kaki yang dialami mendapat perhatian di media sosial apabila si ibu mula meluahkan kesedihan yang dialami.
Segalanya bermula dengan penyakit influenza A namun, siapa sangka, ia membawa kepada serangan sawan yang membuatkan keadaan Qistina menjadi kritikal.
Baca juga: Barang Dalam Rumah Seperti Pinggan Mangkuk Boleh Dituntut Selepas Bercerai? Peguam Jelas..
ANAK TERPAKSA DITIDURKAN, TIBA-TIBA JADI PENYAKIT KAKI SAMPAI MELECUR

Tambah si ibu, tahap oksigen dalam badan juga menurun secara drastik dan lebih membimbangkan buah pinggangnya mula gagal berfungsi hingga mencapai tahap 4 kerosakan.
Keadaannya Qistina semakin merosot dan doktor terpaksa ‘menidurkan’ Qistina kerana kesihatannya terlalu lemah. Lima jenis ubat jantung juga diberikan untuk menyokong degupan yang perlahan dan tidak stabil.
“Nur Qistina, anak nombor 2 yang paling kuat sekali. Demam sampai kena tarik sawan, oksigen drop dan buah pinggang rosak tahap 4. Kena buat dialisis setiap hari sampai la buah pinggang dah pulih sikit.
“Kena ditidurkan sebulan, jantung lemah sampai 5 jenis ubat jantung doktor kena bagi. Hari ke-3 dekat hospital, doktor sampai cakap dia dah tak ada harapan untu kembali pulih. Memang hancur hati mummy masa itu,” luahnya.
Apabila mendengar ayat doktor berkenaan, dunia Fathin seakan terhenti. Seorang ibu yang menyaksikan anak kecilnya bergelut untuk hidup, siapa yang tak luluh hati?
Lebih menyedihkan apabila bahagian kaki Adik Qistina turut terkesan di mana kakinya mula mengalami penyusutan otot yang teruk, urat-urat menjadi tegang, dan setiap hari perlu dibalut kerana luka yang dialami.
“Pedih bila tengok keadaan dia macam ini. Kadang menangis dekat bilik tengok kaki dia macam ini. Otot makin kecut, urat tegang hari-hari kena bandage kaki. Hari-hari buat senaman dengan dia. Harap-harap dia ada kekuatan untuk berjalan macam dulu walaupun tanpa jari kaki dia,” katanya.
Ibu muda itu tidak pernah putus semangat, setiap hari dia akan membantu anaknya berjalan perlahan-lahan, dengan harapan Qistina dapat kembali berjalan suatu hari nanti walaupun tanpa jari kaki.
Perkongsian si ibu itu dibanjiri komen warganet yang turut sedih melihat keadaan si kecil mengenai penyakit kaki itu. Mereka mendoakan agar Qistina kembali pulih seperti kanak-kanak lain.
“Semoga yang baik-baik sahaja untuk anak syurga dan dipermudahkan segala urusan. Saya doakan semoga awak sentiasa sihat. InshaAllah kuat, bijak, boleh jalan lari dan main macam kawan-kawan awak yang lain ya sayang,” komen pengguna media sosial.
Baca juga: Kos Perkahwinan Idaman Di Malaysia Cecah Sehingga RM200K, Tertinggi Di Asia Tenggara!
Sumber: TikTok Fathin Azreen
