Berikutan terjadinya beberapa kes jenayah melibatkan pelajar sekolah baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan komitmennya dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid dengan mengarahkan semua pengetua sekolah untuk melakukan rondaan setiap pagi.
Langkah ini bertujuan mengenal pasti sebarang isu keselamatan serta memastikan keadaan sekolah sentiasa berada dalam keadaan baik dan terurus.
Baca juga: Permohonan Pengawas Peperiksaan SPM 2025 Kini Dibuka, Bukan Cikgu Pun Boleh Mohon & Dapat Elaun!
MULAI MINGGU INI, KPM ARAH SEMUA PENGETUA SEKOLAH BUAT RONDAAN PAGI

Foto hiasan.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad, arahan itu dikeluarkan bagi memastikan konsep Management by Walking Around (MBWA) atau pengurusan melalui turun padang benar-benar diamalkan oleh pihak pentadbiran sekolah.
“Saya sudah arahkan semua pengetua dan pihak pengurusan supaya memberi perhatian kepada pelaksanaan MBWA. Setiap pagi, mereka perlu menilai keadaan sekolah dan turun padang melihat sendiri situasi sebenar,” katanya dalam sidang media khas di KPM.
Beliau menegaskan, pengetua bukan sekadar perlu berada di pejabat, sebaliknya digalakkan melakukan learning walk, iaitu lawatan ke setiap kelas bagi meninjau suasana pengajaran dan pembelajaran secara langsung. Melalui pendekatan ini, pengetua dapat mengenal pasti sebarang isu atau keperluan tindakan segera di peringkat sekolah.
Dr. Mohd. Azam turut menambah, meskipun tahun persekolahan semakin menghampiri penghujung takwim, langkah ini tetap perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan sebarang bentuk pengabaian, terutama yang berkaitan dengan keselamatan murid.
“Kita tidak mahu ada sekolah yang terlepas pandang atau mengambil ringan tanggungjawab ini. Sekiranya didapati pengetua gagal memastikan keselamatan pelajar, KPM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas,” tegasnya.
Langkah baharu ini dilihat sebagai usaha memperkukuh budaya kepimpinan berasaskan keprihatinan dan kehadiran fizikal di lapangan, selaras dengan matlamat KPM untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, kondusif dan berdaya maju.
Reaksi Warga Sekolah dan Ibu Bapa

Foto hiasan.
Arahan baharu itu menerima pelbagai reaksi daripada warga sekolah dan ibu bapa yang melihatnya sebagai satu pendekatan proaktif bagi meningkatkan tahap keselamatan di institusi pendidikan dan ada juga mengatakan ini hanyalah ‘membuang masa’.
Namun bagi sesetengah guru, rondaan pagi oleh pengetua bukan sahaja membantu memantau disiplin pelajar, tetapi turut mewujudkan semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga sekolah.
“Apabila pengetua sendiri turun padang, guru dan pelajar akan lebih berdisiplin. Ia juga memberi mesej bahawa keselamatan dan kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan,” kata seorang guru.
“Bukan ronda pagi sahaja, tengahari dan petang pun kena ronda. Pengetua dah boleh ganti security guard” kata salah seorang ayah kepada pelajar.
Baca juga: Kes Salah Laku Seksual Di Melaka: Semua Murid Terbabit DIBUANG Sekolah, Ambil SPM Di Tempat Khas
Sumber: Kosmo
