Hari bahagia yang sepatutnya menjadi kenangan manis buat sepasang pengantin bertukar menjadi detik mencemaskan apabila pengantin tercekik tulang ikan ketika sedang menikmati hidangan semasa acara makan beradab.
Menerusi perkongsian di Threads, pengantin perempuan yang menggunakan nama @hareenafatini memaklumkan suaminya terpaksa dibawa ke bahagian kecemasan sebuah hospital swasta bagi mendapatkan rawatan segera.
Baca juga: Pelajar Lari Selamatkan Diri, Tular Video Individu Masuk Sekolah Bawa Senjata Tajam!
PENGANTIN TERCEKIK TULANG IKAN DI MAJLIS MAKAN BERADAB

“Tengah bersanding terpaksa lari ke emergency ,” luahnya.
Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika mereka sedang menghadiri majlis bertandang dan suaminya menikmati hidangan yang disediakan.
“Suami saya tercekik tulang ikan sewaktu makan beradab, ini ialah majlis bertandang kami. Saya kekal tenang sebab kalau semua panik takkan jadi apa. Adik dia banyak membantu, kebetulan pula dia bekerja di hospital. Jadi saya lebih percayakan dia untuk tangani situasi ini sebab dia lebih berpengalaman,” jelasnya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya meluahkan rasa lega selepas dimaklumkan bahawa pengantin lelaki berada dalam keadaan selamat.
Ada yang berpendapat insiden itu pasti menjadi pengalaman yang sukar dilupakan, malah mendoakan agar pasangan berkenaan sentiasa diberikan kesihatan yang baik.

“Makan beradab tolong jangan ambil menu ikan lepas ini. Ayam dan udang panjat sahaja,” komen Hikayatmora.
Seorang lagi pengguna turut mencadangkan agar pihak penyedia makanan lebih berhati-hati sekiranya menghidangkan ikan kepada pasangan pengantin.
“Kalau selepas ini ada ikan dalam menu buat pasangan pengantin, lebih baik jika ambil isi dan buang tulang ikan. Kesian, sepatutnya hari bahagia tiba-tiba jadi macam ini. Apa-apa pun syukur semuanya selamat,” tulis Nur Kaysha.
Sementara itu, seorang netizen lain menyifatkan kejadian tersebut mungkin akan menjadi cerita yang dikenang pasangan berkenaan pada masa hadapan.
“Boleh lah cerita pada anak cucu nanti. Syukur juga tiada jadi apa-apa,” komen seorang lagi pengguna.
Baca juga: 110 Rakyat Malaysia Disahkan Hidap Kanser Setiap Hari, Rekod Pesakit Wanita Lebih Tinggi
Sumber: Kosmo
