Euforia Bola 2026
Sihat

Semput Naik Tangga Rupanya Disahkan Tibi, ‘Survivor’ Ini Kongsi Terpaksa Makan Ubat Selama 180 Hari!

pesakit tibi

Ramai menyangka pesakit tibi hanya mengalami batuk teruk berpanjangan, namun realitinya simptom boleh jadi sangat minimum dan tidak disangka-sangka. Perkongsian seorang survivor tibi di Threads membuka mata ramai bahawa penyakit ini boleh menyerang sesiapa sahaja, termasuk individu yang aktif bersukan.

Azrin memulakan perkongsiannya dengan menjelaskan bahawa dia merupakan survivor TB atau tibi sejak sembilan tahun lalu. Menurutnya, ramai yang salah faham tentang penyakit ini kerana menyangka pesakit tibi pasti mengalami batuk yang teruk dan berpanjangan.

Baca juga: 10 Kluster Tibi Baharu Dikesan Di Tujuh Negeri, Johor Catat Kes Tertinggi!

PERLU AMBIL UBAT SELAMA 180 HARI TANPA HENTI SEPANJANG JADI PESAKIT TIBI

pesakit tibi

Gambar hiasan: Freepik

“Jangan ingat TB ini batuk teruk. Saya batuk sikit sahaja,” katanya, sambil menjelaskan bahawa dia sebenarnya menghidap pleural tuberculosis, iaitu tibi selaput paru-paru.

Dia hanya menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila tahap kecergasannya berubah secara mendadak. Sebagai individu yang aktif berlari dan bersenam, dia berasa pelik apabila tiba-tiba menjadi terlalu semput hanya dengan menaiki tangga.

“Saya selalu berlari dan bersenam. Tiba-tiba bila naik tangga rasa semput sangat sampai susah nak bercakap,” ujarnya.

Setiap kali waktu Maghrib pula, dia akan berasa sejuk dan berpeluh sejuk. Selepas menjalani pelbagai ujian, akhirnya keputusan mengesahkan dia dijangkiti tibi, namun dia bersyukur kerana semua kontak rapat didapati negatif.

Sepanjang rawatan, Azrin perlu mengambil ubat selama 180 hari tanpa henti dan turut menjalani prosedur menebuk paru-paru untuk mengeluarkan cecair.

“Alhamdulillah sembuh. Kuat betul ubatnya sampai air kencing warna macam air Ribena,” kongsinya lagi. Dia menegaskan bahawa pengesanan awal dan disiplin mengambil ubat sangat penting serta mengingatkan orang ramai agar tidak mencuba rawatan alternatif tanpa nasihat doktor.

Menurutnya, dia hanya bercuti kerja selama sebulan selepas doktor mengesahkan dirinya tidak lagi berjangkit. Dalam masa sama, dia menyedari bahawa sebenarnya ramai yang pernah dijangkiti sebelum ini, cuma kes-kes tersebut terkawal dan tidak membentuk kluster besar.

Baca juga: [TERKINI] Enam Murid Di Kota Tinggi Positif Tibi, Tiada Sekolah Ditutup!

pesakit tibi

Gambar hiasan: Gemini AI

Bukan sekadar batuk biasa

Menurut laporan kesihatan awam, tibi masih wujud dan boleh merebak melalui udara apabila seseorang berada dalam ruang tertutup bersama individu yang dijangkiti.

Tibi tidak semestinya bermula dengan batuk teruk. Dalam kes pleural tuberculosis, jangkitan berlaku pada selaput paru-paru dan boleh menyebabkan:

  • Semput ketika melakukan aktiviti ringan
  • Sakit dada
  • Berpeluh malam
  • Demam ringan berpanjangan

Dalam kes Azrin, dia hanya mula menyedari kelainan apabila tiba-tiba semput ketika menaiki tangga walaupun aktif menyertai maraton.

Gejala tibi yang perlu diambil serius

Berikut simptom tibi yang sering dilaporkan:

  • Batuk lebih dua minggu
  • Demam berpanjangan
  • Berpeluh malam
  • Berat badan turun tanpa sebab
  • Hilang selera makan
  • Sakit dada
  • Batuk berdarah atau kahak berdarah

Jika mengalami mana-mana simptom ini, saringan awal sangat digalakkan.

Kisah ini menjadi peringatan bahawa tibi bukan penyakit lama yang sudah pupus. Ia masih wujud dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira tahap kecergasan.

Paling penting, jangan tunggu simptom menjadi teruk. Kesan awal, buat saringan dan patuhi rawatan sehingga tamat.

Baca juga: [TERKINI] Kluster Tibi Dikesan Di Kota Tinggi, 33 Orang Positif Daripada 804 Yang Disaring!

Sumber: Threads @azrin138

FT Image: Gemini AI / Freepik

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×