Kerajaan memutuskan untuk menyediakan kemudahan pendidikan OKU percuma untuk yang melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Politeknik dan Kolej Komuniti, melibatkan kira-kira 3,000 pelajar, berkuat kuasa serta-merta.
PENDIDIKAN OKU PERCUMA UNTUK PELAJAR IPTA, POLITEKNIK & KOLEJ KOMUNITI

Perdana Menteri menjelaskan, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam memastikan akses pendidikan yang adil dan inklusif, khususnya kepada golongan yang memerlukan sokongan tambahan.
Inisiatif ini melengkapkan pengumuman terdahulu pada Oktober lalu, apabila kerajaan memperkenalkan skim pendidikan percuma melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada hampir 5,800 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, dengan peruntukan tahunan berjumlah RM120 juta.
Menurut beliau, perancangan untuk meluaskan akses pendidikan percuma bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah menjadi antara sasaran utama kerajaan sejak awal.
Ketika ini, pendidikan percuma telah dilaksanakan dari peringkat Darjah Satu hingga Tingkatan Enam, selain disertakan dengan bantuan tambahan seperti elaun khas dan peruntukan pembelian buku kepada pelajar.
Beliau turut menyentuh mengenai usaha memperkukuh budaya membaca dalam kalangan pelajar dan pendidik, termasuk inisiatif pemberian peruntukan khas kepada guru bagi tujuan pembelian bahan bacaan.

Langkah ini diambil susulan kebimbangan terhadap penurunan minat membaca yang bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah turut menjadi isu global.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa pembangunan bakat dan kualiti pembelajaran perlu disokong oleh sistem pengajaran yang menggalakkan pembacaan meluas, bukan terhad kepada buku teks semata-mata.
Menurut beliau, penerapan budaya membaca atau budaya ilmu perlu diperkasakan semula bagi melahirkan generasi yang berpengetahuan dan berdaya saing.
Sebarang maklumat lanjut mengenai pendidikan percuma OKU ini akan diberitahu kelak.
Sumber: Berita Harian
