Bermula tahun depan, ibu bapa di Malaysia diberi pilihan untuk mendaftarkan anak seawal usia enam tahun ke Tahun 1. Namun setakat ini, pendaftaran tahun 1 bagi kohort umur tersebut masih belum mencapai angka yang dijangkakan.
Ia sekali gus menyebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyesuaikan semula keperluan pengambilan guru kontrak di sekolah rendah.
PENDAFTARAN TAHUN 1 2027 UMUR 6 TAHUN MASIH RENDAH

Gambar BERNAMA: Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata setakat ini jumlah keseluruhan permohonan pendaftaran Tahun 1 bagi sesi 2027 seramai 478,419 orang.
Menurut laporan Free Malaysia Today, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh memaklumkan pendaftaran murid berusia enam tahun bagi sesi Tahun 1 2027 setakat ini hanya mencatat 73,386 permohonan, berbanding unjuran asal sekitar 400,000 murid.
Disebabkan jumlah itu lebih rendah daripada jangkaan, KPM memutuskan untuk mengecilkan strategi pengambilan guru secara Contract of Service (COS).
Jika sebelum ini kementerian menganggarkan keperluan boleh mencecah 20,000 guru, kini sasaran yang ditetapkan hanyalah 3,150 guru COS tahun depan bagi menampung keperluan segera di sekolah rendah.
“Mengambil kira status semasa pendaftaran kohort enam tahun yang rendah ini, KPM menyelaraskan keperluan semasa dengan membuat pengambilan 3,150 guru COS bagi menampung keperluan segera di sekolah rendah.
“Pengambilan khas ini bagaimanapun tidak akan menggantikan laluan profesional keguruan yang tetap menjadi pelan utama perancangan guru KPM,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat.
Walau bagaimanapun, Wong menegaskan pengambilan khas ini bukanlah pengganti kepada laluan profesional keguruan sedia ada. Sebaliknya, ia hanya langkah sementara bagi memastikan keperluan semasa sekolah dapat diisi tanpa menjejaskan perancangan jangka panjang KPM.
Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan jumlah keseluruhan pendaftaran tahun 1 bagi sesi 2027 sebenarnya mencecah 478,419 permohonan apabila digabungkan dengan kohort murid tujuh tahun.
Daripada jumlah itu, 405,033 merupakan murid kohort tujuh tahun, manakala 73,386 lagi terdiri daripada murid kohort enam tahun. Secara keseluruhan, angka itu menunjukkan peningkatan enrolmen sebanyak 12.07 peratus berbanding sesi Tahun 1 2026.
Ini bermakna walaupun kemasukan murid enam tahun masih rendah, jumlah murid Tahun 1 bagi sesi 2027 tetap bertambah berbanding tahun sebelumnya.

Gambar: Kementerian Pendidikan Malaysia
KPM mempercepatkan penyediaan infrastruktur sebagai persediaan pertambahan murid
Bagi memastikan sekolah bersedia menerima pertambahan murid, kementerian giat menyiapkan pembinaan 2,596 bilik darjah baharu menggunakan kaedah sistem binaan berindustri (IBS) modular melibatkan 838 sekolah di seluruh negara.
Selain itu, kementerian juga akan mengoptimumkan ruang sedia ada di sekolah dan bersedia melaksanakan operasi dua sesi mengikut kapasiti serta keperluan kawasan tertentu.
Dalam perkembangan sama, KPM kini sedang menguruskan 4,417 calon simpanan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi ambilan Julai dan Disember 2025. Daripada jumlah itu, seramai 2,633 calon dijangka menerima surat tawaran pelantikan dalam masa terdekat.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan bahawa pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun, manakala Tahun 1 pula dibuka kepada murid berusia enam tahun mulai tahun depan.
Bagaimanapun, kemasukan awal ini adalah secara sukarela dan akan melibatkan saringan diagnostik bagi menilai tahap kesediaan murid sebelum memasuki persekolahan formal.
Sumber: Free Malaysia Today
FT Image: Harian Metro
