Pemindahan hati terhadap seorang bayi lelaki berusia empat bulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bukan sahaja mencatat sejarah perubatan negara, malah menjadi bukti jelas bahawa Malaysia memiliki kepakaran kesihatan bertaraf dunia.
Kejayaan luar biasa ini melibatkan prosedur berisiko tinggi ke atas bayi seberat hanya 6.2 kilogram yang mengalami kegagalan hati dan memerlukan rawatan segera.
PPUM BERJAYA MELAKSANAKAN PEMINDAHAN HATI BAYI 4 BULAN

Gambar: Facebook Dr Dzulkefly Ahmad
Berlaku detik cemas sebelum prosedur bermula, jantung bayi tiba-tiba berhenti
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan pembedahan itu dijalankan pada 25 November lalu dengan ibunya sendiri bertindak sebagai penderma organ.
Namun, detik cemas tercetus apabila beberapa minit sebelum prosedur bermula, jantung bayi berkenaan tiba-tiba terhenti di Unit Rawatan Rapi Pediatrik PPUM.
“Pasukan perubatan bertungkus-lumus melakukan resusitasi. Satu jam yang penuh debaran. Nyawa anak kecil ini benar-benar di hujung tanduk.
“Di sinilah kehebatan sebenar pasukan perubatan kita teruji. Bukan sahaja mereka berjaya menstabilkan kembali bayi tersebut, malah dengan penilaian klinikal yang tajam dan berani, mereka membuat keputusan berat iaitu untuk meneruskan pembedahan tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Keputusan itu bukan mudah memandangkan prosedur tersebut sangat rumit, lebih-lebih lagi melibatkan pembuluh darah bayi yang amat halus.
Namun, hasil kepakaran pakar bedah, pakar bius dan jururawat di PPUM, pembedahan berisiko tinggi itu berjaya dilaksanakan dengan selamat.
“Kita ada bakat untuk mencipta keajaiban. Apa yang kita perlukan sekarang ialah sistem sokongan dan kesedaran rakyat untuk tampil berikrar sebagai penderma,” katanya.
PM ucap tahniah!

Gambar: Akaun X Perdana Menteri Malaysia.
Kejayaan bersejarah ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh pasukan perubatan PPUM. Menurut beliau, pencapaian tersebut mencerminkan tahap profesionalisme, dedikasi serta keupayaan tinggi warga kesihatan negara dalam mengendalikan prosedur perubatan yang kompleks.
“Tahniah kepada pasukan perubatan PPUM atas kejayaan bersejarah melaksanakan pemindahan hati kepada bayi berusia empat bulan seberat 6.2 kilogram,” kata beliau menerusi satu hantaran di platform media sosial X.
Baca juga: Berat Mata Memandang Ujian Arisya Di Usia 3 Tahun, Hilang Sebelah Buah Pinggang Akibat Kanser
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly menegaskan kejayaan ini membuktikan Malaysia mempunyai bakat dan kepakaran untuk mencipta keajaiban dalam dunia perubatan.
Namun, beliau menekankan keperluan kepada sistem sokongan yang lebih kukuh serta kesedaran rakyat untuk tampil sebagai penderma organ.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan bertekad untuk memacu Agenda Transplantasi Nasional 2026 yang bertujuan menstruktur semula dan memperkasakan perkhidmatan pemindahan organ di Malaysia, termasuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendermaan organ.
Beliau turut mendoakan agar bayi lelaki berkenaan terus pulih sepenuhnya dan membesar dengan sihat, sekali gus menjadi simbol harapan serta pencapaian besar sistem kesihatan negara.
Baca juga: TikTok Shop Sasar 1,000 Sesi LIVE All-Star 2026 Untuk Sokong Program Mall, Naikkan Jenama Usahawan!
Sumber: Facebook Dr Dzulkefly Ahmad / X – @anwaribrahim
FT Image: Facebook Dr Dzulkefly Ahmad / peoplecreations
