Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal membuka tawaran pembiayaan khas kepada pelajar baharu yang berminat mengikuti Program Kadet Juruterbang, dengan keutamaan diberikan kepada pelajar tahfiz aliran STEM. Perkara itu dikongsikan oleh Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya.
PROGRAM KADET JURUTERBANG PEMBIAYAAN MARA AKAN DIBUKA

Menurut beliau, MARA kini dalam perancangan akhir sebelum mengeluarkan iklan rasmi beserta syarat-syarat kelayakan kepada calon yang berminat untuk menyertai program berprestij tersebut.
Walaupun tawaran itu dibuka kepada semua pelajar yang memenuhi syarat asas, namun pelajar tahfiz yang mengikuti aliran STEM akan diberikan keutamaan dalam proses pemilihan.
Langkah ini dilihat sebagai usaha MARA untuk melahirkan lebih ramai profesional dalam bidang penerbangan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah mempunyai latar belakang agama dan hafazan Al-Quran.
Menurut perkongsian itu lagi, calon yang memohon perlu memenuhi syarat asas yang ditetapkan oleh akademi latihan penerbangan seperti Malaysia Aviation Group (MAG) dan BATS.
Calon yang berjaya melepasi beberapa peringkat saringan akan melalui fasa terakhir temuduga bersama Pengerusi MARA sendiri menerusi sesi tasmik atau “Tebuk Al-Quran”.
Sesi tersebut bertujuan menguji tahap hafazan dan penguasaan al-Quran calon-calon tahfiz yang memohon pembiayaan program kadet juruterbang berkenaan.
Pendekatan itu menerima pelbagai reaksi positif daripada orang ramai yang menyifatkan usaha tersebut sebagai satu langkah baik dalam melahirkan modal insan seimbang antara duniawi dan ukhrawi.
Dalam masa sama, Majlis Amanah Rakyat turut menegaskan bahawa akademi penerbangan yang menerima tajaan MARA perlu mempunyai kerjasama dengan syarikat penerbangan bagi menjamin peluang pekerjaan kepada pelatih selepas tamat latihan.
Ia bagi memastikan graduan yang menerima pembiayaan tidak berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pengajian dalam bidang penerbangan.
Program ini dijangka membuka peluang besar kepada pelajar tahfiz yang mempunyai minat dalam bidang profesional dan teknikal, khususnya industri penerbangan yang semakin berkembang.
Baca juga: “Macam Jumpa Diri Sendiri Balik” – Trend Gemini AI Tukar Gambar Dulu VS Sekarang Buat Netizen Sebak
Sumber: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki
