“Abah antara orang paling gembira bila saya jalani pembedahan hidung untuk melancarkan pernafasan, dan sehingga kini abah masih selalu minta maaf atas kejadian itu,” luah Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 23 tahun.
Nurul Dahyatul pernah menjadi mangsa simbahan cuka getah oleh bapa kandungnya dalam tragedi hitam pada 15 Ogos 2010, kira-kira jam 1.45 pagi. Insiden itu meninggalkan parut kekal pada wajah dan tubuhnya, selain menyempitkan rongga hidung sehingga menjejaskan pernafasan.
Baca juga: Syukur! Rantai Emas Hilang Bernilai RM600 ‘Dipulangkan’ Semula Selepas Ikhtiar Baca 7 Doa Ini
GADIS MANGSA SIMBAH CUKA GETAH JALANI PEMBEDAHAN HIDUNG KELIMA

Foto terkini.
Sejak April tahun lalu, dia telah menjalani lima kali pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), termasuk yang terbaharu pada 21 Ogos lalu. Rawatan itu melibatkan pembuangan kulit lama pada wajah, sebelum pasukan doktor membentuk semula hidung menggunakan tulang rawan sebagai sokongan.
“Sekarang pernafasan saya sudah lebih lancar dan tidak sempit lagi. Pembedahan ini bukan kerana ingin cantik atau malu dengan parut, tetapi untuk kesihatan diri. Saya bersyukur kerana impian ini akhirnya tercapai, walaupun mungkin masih ada dua lagi pembedahan selepas ini,” katanya.
Nurul turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang tampil membantu, termasuk Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang menanggung kos perjalanan ke ibu negara, serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang menyumbang RM2,300 bagi pembelian tissue expander.
“Saya difahamkan YB Teresa tersentuh selepas membaca kisah saya yang tidak pernah berdendam dengan abah, yang disiarkan Harian Metro tahun lalu. Saya sangat terharu kerana meskipun berbeza kaum dan agama, beliau tetap sudi membantu saya. Abah juga sebak melihat impian saya menjalani pembedahan akhirnya terlaksana,” katanya.
PILIH UNTUK MAAFKAN BAPA…

Sebelum ini, Harian Metro pernah menyiarkan pengakuan Nurul Dahyatul bahawa dia memilih untuk memaafkan bapanya, kerana ia lebih menenangkan jiwa. Malah, ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, juga tidak pernah mendidik mereka untuk membenci lelaki itu.
Dalam tragedi di Kampung Sekayu, Kuala Berang itu, bukan hanya Nurul Dahyatul yang cedera, malah adiknya, Muhammad Irfan Firdaus, dan ibu mereka turut menjadi mangsa simbahan cuka getah. Namun, kasih sayang serta rasa hormat mereka terhadap Mat Haizan Mat Yassin tidak pernah luntur.
Bagi orang ramai yang ingin membantu meringankan beban kos rawatan, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 1150041000040457 atas nama Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan.
Sumber: Harian Metro
