Euforia Bola 2026
Inspirasi

“Saya Takut Ada Mangsa Dalam Kereta”– Aksi Hero & Berani Pemandu Treler Padam Kebakaran Raih Pujian!

pemandu treler

Nilai kemanusiaan sering diuji di saat-saat tidak dijangka. Dalam satu insiden di jalan raya ini, seorang pemandu treler tangki membuktikan bahawa keberanian dan keprihatinan masih wujud, apabila dia sanggup berhenti untuk membantu memadam kebakaran sebuah kereta.

Tindakan berani itu bukan sahaja meraih perhatian selepas video kejadian tular, malah turut mengundang pujian ramai yang menyifatkannya sebagai contoh sikap prihatin yang wajar dijadikan teladan.

Baca juga: Ibu Derma 10% Hati Demi Anak, Pembedahan Chempaka Naura Di China Berjaya! Kisah Si Kecil Ini Buat Ramai Sebak

PEMANDU TRELER BERTINDAK BERANI DEMI KESELAMATAN ORANG LAIN

pemandu treler

Gambar TikTok @mhdaemann1: Mohd Noor Azizi, 38, pemandu treler tangki yang mendapat perhatian selepas video memaparkan dirinya membantu memadam kebakaran kereta dalam hujan dikongsikan pengguna akaun TikTok, @mhdaemann1 yang meraih 2.3 juta tontonan, baru-baru ini.

Pemandu treler tersebut, Mohd Noor Azizi Mohamad Hashim, 38, berkata dia tidak teragak-agak untuk memberhentikan kenderaan berat yang dipandunya selepas melihat sebuah kereta terbakar di kawasan Changkat Chermin, Bota, Perak sekitar jam 5 petang pada 4 April lalu.

Menurutnya, ketika kejadian hujan sedang lebat dan keadaan jalan licin, namun perkara pertama yang bermain di fikirannya adalah kemungkinan masih ada mangsa di dalam kenderaan berkenaan.

“Ketika sedang memandu saya nampak sebuah kereta terbakar. Bimbang jika ada mangsa, saya berhenti dan segera ambil alat pemadam api,” katanya.

Dalam keadaan cemas itu, Mohd Noor Azizi turut terjatuh akibat permukaan jalan yang licin ketika cuba membantu. Namun, segera bangun dan mendapatkan alat pemadam api dari trelernya untuk membantu di lokasi kejadian.

“Alat pemadam api memang ada dalam lori kerana setiap lori atau treler perlu ada alat itu. Saya bimbang kalau dalam kereta ada orang tersepit dan ketika itu pasukan penyelamat belum sampai di lokasi,” katanya ketika dihubungi di sini.

Baca juga: Setiap Hari Gantung 10 Biji Telur Di Tepi Jalan, Cara Infaq ‘Simple’ Wanita Ini Buat Ramai Tersentuh

pemandu treler

Gambar TikTok @mhdaemann1

Tindakan spontan penuh tanggungjawab

Mohd Noor Azizi mengakui itu adalah pengalaman pertama sepanjang 15 tahun bergelar pemandu treler, namun naluri untuk membantu mengatasi rasa panik pada saat itu.

Walaupun alat pemadam api yang digunakan tidak berfungsi dengan baik, dia tetap berusaha memastikan keadaan terkawal sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi.

“Saya tak sangka ada yang rakam video itu, segan juga tetapi niat saya memang mahu membantu.

“Walaupun tak dapat padamkan kebakaran itu namun saya lega tiada orang dalam kereta,” katanya.

Selepas insiden itu, dia segera menghantar alat pemadam api ke pusat servis untuk diganti. Malah, turut menerima sumbangan alat pemadam api baharu daripada individu yang prihatin selepas video tersebut tular di media sosial.

Tindakan pemandu treler ini menerima pujian ramai warga maya yang menganggapnya sebagai simbol keberanian dan keikhlasan dalam membantu orang lain ketika kecemasan.

Ramai juga berkongsi semula kesedaran mengenai keselamatan dan penggunaan alat pemadam api sebagai langkah awal menghadapi situasi kebakaran kenderaan.

Bagi Mohd Noor Azizi, apa yang dilakukan hanyalah tanggungjawab sesama pengguna jalan raya, dan dia percaya setiap individu boleh memainkan peranan jika berdepan situasi kecemasan sebelum bantuan rasmi tiba.

Katanya lagi, sebagai pemandu treler mereka bersedia membantu sekiranya melihat kebakaran kenderaan di jalan raya sementara menunggu pasukan penyelamat tiba di lokasi.

@mhdaemann1

YaAllah baiknya dreba tanker ytl ni sampai terjatuh dia nak tolong padamkan api😭adaa yang kenal ke dreba tanker ytl ni,semoga dipermudahkan 🤲#fypシ #xybca

♬ original sound – malique’s – malique’s

Baca juga: Anak Didakwa Kes Bunuh, Ibu Tiada SPM Belajar Undang-Undang Demi Keadilan, Kini Bergelar Peguam

Sumber: Harian Metro

FT Image: TikTok @mhdaemann1

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×