Pemain catur muda berbakat Malaysia, Genivan Genkeswaran, 16, mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara dalam Kejohanan Catur Sekolah-Sekolah Asia ke-19 2025 yang berlangsung di Ulaanbaatar, Mongolia.
Remaja pintar ini berjaya menewaskan peserta dari 16 negara termasuk Australia, China, Rusia, India, Indonesia, Korea, Singapura dan Vietnam dalam kategori Terbuka bawah 17 tahun. Sekali gus, mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
PEMAIN CATUR MALAYSIA RAIH TEMPAT PERTAMA

Genivan berjaya merangkul tempat pertama di Kejohanan Catur Sekolah-Sekolah Asia ke-19 2025 di Ulaanbaatar, Mongolia.
Menurut kenyataan daripada Chess Master Journey, kemenangan luar biasa itu melayakkan Genivan menerima gelaran berprestij FIDE Master (FM), gelaran rasmi yang dianugerahkan kepada pemenang pingat emas bagi kategori U13, U15 dan U17 di bawah peraturan Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE).
Dari Candidate Master ke FIDE Master
Sebelum ini, Genivan memegang gelaran Candidate Master (CM), namun kemenangan terbarunya ini menandakan satu lonjakan besar dalam karier caturnya di peringkat antarabangsa.
Pengurus Chess Master Journey, Selvi Shanmugam, menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti ketekunan dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh Genivan sepanjang latihan dan pertandingan.
“Gelaran FIDE Master ini menjadi pendorong buat Genivan untuk terus mara dalam mengejar cita-cita dan impiannya. Kami berharap beliau bukan sahaja berkembang sebagai pemain catur hebat, tetapi juga sebagai individu yang memberi sumbangan positif kepada masyarakat,” katanya.
Kemenangan ini turut mencerminkan kekuatan baharu Malaysia dalam arena catur serantau, di mana semakin ramai pemain muda mula menonjol di peringkat antarabangsa hasil latihan intensif dan bimbingan komuniti catur tempatan.
Kejohanan yang berlangsung dari 24 Oktober hingga 2 November 2025 itu dianjurkan oleh Persekutuan Catur Mongolia di bawah naungan Persekutuan Catur Asia (ACF) dan FIDE. Pertandingan tersebut menghimpunkan pemain muda terbaik Asia dalam sembilan pusingan permainan yang mencabar.
Edisi ke-19 kejohanan ini menampilkan kategori daripada bawah 7 hingga bawah 17 tahun bagi lelaki dan perempuan, memperlihatkan pelapis-pelapis muda yang bakal mewarnai masa depan catur Asia.
Sumber: Sinar Harian
FT Image: Sinar Harian / Malay Mail
