Seorang pelajar perempuan maut ditikam selepas diserang oleh seorang pelajar lelaki dalam kejadian tragis yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, pagi tadi.
Insiden berkenaan dipercayai berlaku sekitar jam 9.30 pagi apabila seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua dikatakan membawa senjata tajam yang disyaki pisau ke kawasan sekolah sebelum bertindak menikam mangsa.
Baca juga: 6000 Pelajar Seluruh Negara Dijangkiti Virus Influenza, KPM Arah Sekolah Ikut Garis Panduan
PELAJAR PEREMPUAN MAUT DITIKAM LELAKI TINGKATAN DUA

Difahamkan, selain pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut, terdapat seorang lagi pelajar turut cedera akibat tindakan suspek.
Buat masa ini, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak polis yang berada di lokasi kejadian bagi mengenal pasti motif serta kronologi penuh insiden tersebut.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Shamsudin Mamat berkata, mangsa cedera ditikam di bahagian badan dengan beberapa tikaman dipercayai menggunakan senjata tajam.
“Kejadian itu disedari guru yang terdengar jeritan dan cuba untuk membantu tetapi kejadian sudah berlaku. Mangsa dan suspek adalah pelajar di sekolah sama namun berbeza tingkatan.
“Bagaimanapun punca kejadian masih dalam siasatan lanjut dan senjata tajam yang dipercayai digunakan suspek sudah dirampas juga untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Satu sidang media dijangka diadakan dalam masa terdekat bagi memberikan maklumat rasmi kepada pihak awam dan media.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya bersama pasukan penyiasat kini masih berada di tempat kejadian untuk meneruskan siasatan menyeluruh.
Baca juga: Tular Terapi Bedung ‘Konon’ Boleh Rawat Anak Lambat Bercakap, Pakar Tegur Semua Ini Tak Masuk Akal!
Sumber: Berita Harian
