Pasukan berkuda muda negara sekali lagi membuktikan kemampuan mereka di pentas dunia apabila berjaya menamatkan Kejohanan Dunia Endurance Remaja & Junior 2025 di Buftea, Romania dengan pencapaian membanggakan. Di mana, mereka berada di kedudukan kelima daripada 28 negara bertanding.
Saingan bermula seawal jam 6:45 pagi, melibatkan laluan sejauh 120KM penuh cabaran. Perlumbaan ini bukan sahaja menguji kelajuan di trek, tetapi juga kesabaran, strategi, serta ikatan kasih terhadap kuda tunggangan.
Baca juga: Pengiktirafan Membanggakan! Empat Pensyarah UUM Tersenarai Antara 2% Saintis Terbaik Dunia
PASUKAN BERKUDA MALAYSIA KEDUDUKAN KELIMA TERBAIK DUNIA
Hal ini kerana, dalam sukan endurance, kemenangan tidak semata-mata ditentukan oleh siapa yang tiba dahulu, tetapi siapa yang berjaya menamatkan dengan kuda yang masih sihat dan cergas.
Malaysia berjaya mencatatkan masa keseluruhan 21 jam 05 minit 58 saat, dengan empat daripada lima pelumba menamatkan perlumbaan berprestij ini.
Ahmad Athif Haidar yang menunggang Djawad Du Barthas muncul sebagai pelumba terbaik negara di kedudukan ke-21 individu, diikuti rapat oleh Ahmad Haziq Farhan Ahmad Faris (Gentleman Valarbin Aa) di tempat ke-22.
Turut berjaya mengharumkan nama negara ialah Wan Nur Irdina Aisya Wan Mohd Kamaluddin (Gondor De La Fichade) di kedudukan ke-28 dan Abdullah Faqeh Muhammad (Fujairah Du Roc’h) di tempat ke-29.
Seorang lagi wakil, Muhammad Nurhan Fawwaz Nurhairi bersama kudanya Fogo, bagaimanapun tidak berjaya menamatkan saingan.
Baca juga: Kerana Datuk Ada Darah Tinggi, Murid 7 Tahun Cipta ‘PotaSorb’ & Raih Emas Di Pentas Inovasi Dunia!
Namun pencapaian empat pelumba negara sudah cukup meletakkan Malaysia sebagai pasukan dengan jumlah penamat terbanyak berbanding negara lain, termasuk kuasa besar Eropah yang hanya mampu menamatkan perlumbaan dengan tiga atau dua penunggang.
“Malaysia turut dianugerahkan ‘The Best Team’, satu-satunya negara dengan empat daripada lima penunggang berjaya menamatkan perlumbaan,” kata pengiring pasukan, Muhamad Abdullah al Amin.
Kejayaan ini sekali gus menobatkan Malaysia sebagai pasukan kelima terbaik dunia dan yang pertama di Asia, suatu pencapaian luar biasa bagi sebuah pasukan muda.
“Tahniah kepada semua penunggang, jurulatih, kru, ibu bapa dan seluruh rakyat yang mendoakan! Malaysia Boleh! Dari medan Romania ke mata dunia,” ujar Muhamad Abdullah dalam catatan Facebook beliau.
Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan semangat kental, disiplin tinggi dan kasih terhadap kuda tunggangan, Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kuasa besar dunia dalam arena sukan berkuda lasak.
Sumber: BERNAMA / Muhamad Abdullah
FT Image: Equestrian Malaysia

