Pasar Pagi Sungai Bayor yang sinonim sebagai nadi ekonomi masyarakat tempatan di Perak sekali lagi mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan rasmi daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Pasar Pagi Terpanjang di Malaysia.
Dengan panjang sejauh 2.32 kilometer, ia mengatasi rekod sebelumnya yang dipegang oleh Pasar Pagi Temerloh, Pahang.
PASAR PAGI SUNGAI BAYOR PALING PANJANG DI MALAYSIA, MERIAH!

Majlis pengiktirafan itu berlangsung meriah dalam program Temasya Pasar Pagi di tapak pasar berkenaan, yang saban minggu menjadi tumpuan ribuan pengunjung dari dalam dan luar daerah.
Lebih istimewa, pasar yang telah beroperasi sejak lebih 50 tahun lalu bukan sekadar lokasi jual beli tradisi masyarakat setempat, tetapi kini turut berkembang menjadi tarikan pelancongan yang semakin dikenali di seluruh negara.
Menurut Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama, Mohd Nasrul Menhat, pasar ini menjadi nadi perniagaan kepada lebih 480 peniaga selain menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi daerah melalui perdagangan serta kedatangan pelancong.
“Pengiktirafan ini membuktikan kekuatan komuniti tempatan dalam mengekalkan tradisi dan semangat berniaga sehingga berjaya mengangkat nama Sungai Bayor ke peringkat kebangsaan. Pasar ini bukan sahaja tempat membeli belah, tetapi juga lambang perpaduan masyarakat berbilang kaum,” katanya ketika merasmikan acara berkenaan.
Selain sebagai pusat ekonomi, Pasar Pagi Sungai Bayor turut menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung. Dari hasil tani segar, makanan tradisional, barangan runcit, pakaian hinggalah ke hasil kraf tangan, suasana pasar yang panjang terbentang itu memberikan satu pengalaman beli-belah ala tradisional yang jarang ditemui di tempat lain.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Yang Dipertua Majlis Daerah Selama, Nor Akmal Yang Ghazali serta Pengerusi Persatuan Penjaja Kecil Daerah Selama, Mohammad Ezaiyuhan Dr. Awang.
*Jom kita bawa seisi keluarga ke pasar pagi yang unik ini, pasti banyak barang yang akan dibeli!
Baca lagi: Hidup Tanpa Hiburan, Ini 7 Bandar Dikatakan Paling BOSAN Di Malaysia Yang Anda Kena Tahu!
Sumber: OrangPerak.com, BERNAMA
