Tindakan tiga individu yang memanjat papan tanda jalan dan tiang lampu di sekitar bandar raya Kuching mendapat perhatian serius daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) selepas rakaman kejadian tersebut tular di TikTok.
Dalam kenyataan rasmi, DBKU menyifatkan perbuatan itu sebagai tingkah laku tidak sopan dan membahayakan diri sendiri, selain berpotensi merosakkan harta awam serta mencemarkan imej bandar raya Kuching yang selama ini dikenali sebagai bandar yang bersih dan berdisiplin.
Baca juga: Kerajaan Umum Harga Petrol Terkini RON97 RM3.25, RON95 RM2.65 Seliter Mulai 13 Hingga 19 November!
TULAR INDIVIDU PANJAT PAPAN TANDA JALAN & TIANG LAMPU

Tangkap layar video yang tular.
Menurut DBKU, pihaknya akan membuat laporan polis terhadap individu terbabit bagi siasatan lanjut di bawah undang-undang berkaitan ketenteraman awam.
“Berikutan tindakan tidak sopan dan tidak senonoh oleh individu yang terlibat dalam kejadian ini, DBKU akan membuat laporan polis bagi siasatan lanjut di bawah undang-undang berkaitan ketenteraman awam,” kata kenyataan itu.
Pihak berkuasa tempatan itu turut menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan terhadap perbuatan tidak beradab yang boleh menjejaskan keselamatan dan imej bandar.
DBKU turut mengingatkan bahawa selain tindakan memanjat, perbuatan menampal sebarang bahan seperti pelekat atau poster pada papan tanda jalan tanpa kebenaran juga merupakan satu kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil 22(1)(b), Local Authorities (Cleanliness) By-laws, 1999.
Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan:
- Denda sebanyak RM1,500 dan,
- Denda tambahan RM3,000 bagi kesalahan berikutnya atau,
- Penjara selama sembilan (9) bulan bagi kesalahan berikutnya
Baca juga: Ibu Tergamam Anak Ada ‘Simpanan Rahsia’, Dalam Beg Sekolah Padat Dengan Wang Tunai RM767!

Tangkap layar video yang tular.
Langkah tegas ini diambil bagi memastikan orang awam lebih berdisiplin serta menghormati kemudahan awam yang disediakan untuk kegunaan bersama.
Dalam kenyataannya lagi, DBKU menegaskan bahawa tindakan seperti ini bukan sahaja menjejaskan imej bandar raya Kuching, tetapi juga mencerminkan kurangnya adab dan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat.
“Tingkah laku sedemikian dianggap sebagai pelanggaran serius terhadap adab dan tatasusila masyarakat serta tidak akan dikompromi oleh pihak DBKU,” katanya.
DBKU menyeru orang ramai agar sentiasa menjaga tingkah laku dan menghormati kemudahan awam, selain bekerjasama memastikan bandar raya Kuching kekal bersih, selamat dan berdaya huni.
Trend ‘Maui Wowie’ menular dari Barat
Menurut laporan Lobak Merah, aksi berisiko yang dilakukan tiga individu ini dipercayai berpunca daripada trend media sosial dikenali sebagai “Maui Wowie”, yang bermula di negara Barat.
Sebelum ini, trend serupa pernah berlaku apabila seorang pelancong wanita tular bergayut pada papan tanda jalan di Jalan Pinang, Kuala Lumpur, yang turut menerima kecaman netizen.
Sumber: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) / Lobak Merah
FT Image: DBKU
