Udang galah bukan sahaja menjadi buruan kaki pancing kerana keenakan isinya, malah kisah di sebalik aktiviti mengailnya turut sarat dengan pantang larang dan mitos. Ada yang masih percaya kepada petua lama, manakala sebahagian lain menolaknya dengan alasan ia tidak ada kena-mengena.
Apa pun, setiap kepercayaan itu wajar juga diteliti dengan logik dan pengalaman pemancing berpengalaman.
PANTANG LARANG MENGAIL UDANG GALAH

Gambar hiasan oleh umpan.com
Ketika musim udang galah tiba, ramai kaki pancing akan turun ke sungai dan lubuk yang terkenal dengan spesies sepit biru ini. Namun, satu hal yang sering diingatkan ialah kehadiran ‘teman setia’ di kawasan tersebut iaitu buaya.
Ramai percaya udang galah gemar menempel pada tubuh buaya untuk memakan lumut atau alga. Maka, tidak hairanlah jika ada pepatah turun-temurun menyebut, “di mana ada udang galah, di situ ada buaya.”
Berikut antara pantang larang yang sering dikaitkan dengan aktiviti memancing udang galah:
1. Makanan berdarah
Pemancing dinasihatkan supaya tidak membuang makanan berdarah seperti daging atau ayam di kawasan pancing. Dipercayai bau darah boleh menarik perhatian buaya untuk mendekati lokasi anda.
2. Tepung kunyit
Jika menggunakan umpan berasaskan tepung, elakkan mencampurkan serbuk kunyit. Ada yang mengatakan bau kunyit boleh membuatkan buaya ‘marah’ dan menimbulkan ancaman kepada pemancing.
3. Jangan sebut buaya
Sepanjang berada di sungai atau di atas sampan, sebaiknya elakkan menyebut nama buaya secara terus. Sama seperti pantang di hutan untuk tidak menyebut nama harimau, pemancing disarankan menggantikannya dengan panggilan lain seperti “sang bedal”.
Baca juga: Ini Tips ‘Power’ Siang Udang Lipan, Hasilnya Isi Seketul Tanpa Lekat Pada Kulit!

Gambar hiasan oleh pexels.
4. Meludah pada umpan
Ada yang percaya dengan meludah pada umpan sebelum dilemparkan ke air, ia akan menarik perhatian udang galah. Walaupun tiada bukti saintifik, amalan ini masih diteruskan oleh sesetengah pemancing sebagai sebahagian daripada tradisi.
5. Tidak boleh langkah joran
Pantang larang ini menyatakan bahawa jika batang pancing dilangkah, hasil tangkapan akan berkurang. Walaupun kedengaran tidak logik, ramai pemancing masih mengamalkannya sebagai tanda hormat kepada peralatan memancing mereka.
6. Elakkan bunyi bising
Pemancing juga percaya bunyi bising atau bergurau keterlaluan di atas sampan boleh menjejaskan rezeki tangkapan. Selain mengganggu ketenangan sungai, dipercayai ia juga boleh ‘menghalau’ udang galah daripada menghampiri umpan.
Baca juga: 5 Cara Siang Ikan Panduan Lengkap Guna Pelbagai Alat, Lepas Ini Sebelah Mata Je Boleh Buat!
