Solat sunat selepas nikah atau solat sunat nikah ialah solat dua rakaat yang dilakukan sebagai tanda syukur kepada Allah kerana mengurniakan pasangan hidup. Para ulama berpendapat bahawa pasangan yang baru berkahwin digalakkan (sunat) menunaikan solat ini secara berjemaah sebelum bersama, dengan syarat isteri berada dalam keadaan suci.
Selepas selesai akad nikah, terutamanya pengantin lelaki disunatkan mengerjakan solat ini. Dalam kitab Fatawa Nur ‘ala al-Darb oleh Syeikh Ibn Baz, disebut bahawa terdapat beberapa riwayat sahabat yang menunjukkan solat dua rakaat sebelum bersama isteri adalah amalan yang disunatkan.
Baca juga: Tak Sangka, 10 Perkara Seharian Seperti Mengumpat Buka Ruang Jin ‘Datang Dekat’ Dengan Kita!
SOLAT SUNAT SELEPAS NIKAH

Gambar Siti Haidatina.
Hukum
Berkenaan dengan solat sunat nikah atau solat dua rakaat sebelum mempergauli isteri, tidak ada hadis daripada Nabi tentang sunnahnya tetapi hal tersebut menjadi amalan sebahagian para sahabat sebagaimana dalam atsar mereka
Dalam sebuah atsar daripada Abu Said iaitu hamba kepada Abu Usaid, katanya: Aku baru sahaja berkahwin ketika aku masih berstatus hamba. Aku telah menjemput beberapa orang sahabat Rasulullah ﷺ iaitu Ibn Mas’ud, Abu Dzar dan Hudzaifah. Aku pun berkata kepada mereka: Ajarkanlah kepadaku sesuatu kebaikan dalam rumah tanggaku:
“Ketika kamu menemui isteri kamu, maka solatlah dua rakaat. Kemudian mohonlah kepada Allah Ta’ala dari kebaikan yang dimasukkan kepadamu. Dan mohonlah perlindungan dengan-Nya. Kemudian setelah itu urusan kamu dengan isterimu.” (Hadis riwayat Ibn Abi Syaibah)
Seterusnya dalam atsar yang lain pula disebutkan:
Diriwayatkan daripada Syaqiq katanya: Seorang lelaki yang disebut sebagai Abu Jarir telah datang menemui Ibn Mas’ud, lalu dia berkata: Aku telah berkahwin dengan seorang hamba yang mash gadis tetapi aku bimbang dia akan membenciku.
Maka, Ibn Mas’ud memberi bimbingan:
“Kasih sayang itu daripada Allah dan perpecahan itu daripada syaitan. Syaitan menginginkan kebencian di antara kamu atas apa yang telah dihalalkan oleh Allah. Apabila isteri kamu sudah selesai dipergauli, perintahlah dia agar bersolat dua rakaat secara berjemaah bersamamu.” (Hadis riwayat In Abi Syaibah)
Waktu mengerjakan
Solat sunat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja sama ada siang ataupun malam dan sebaik-baiknya dilakukan sebelum pasangan tersebut mengadakan hubungan kelamin.
Niat solat sunat nikah
Lafaz niat solat sunat nikah ini adalah:

Usolli Sunnatal ‘UruSi Rak’ataini Lillahi Ta’ala
“Sahaja aku solat sunat berkahwin (nikah) dua rakaat kerana Allah Taala.”
Cara solat sunat nikah
Apabila selesai bernikah, lakukanlah solat sunat nikah dua rakaat dengan berniat kerana ingin meraih keredhaan Allah SWT semata-mata.
Tunaikan solat sunat ini sebanyak dua rakaat dengan cara dan tertib sebagaimana solat-solat sunat yang lain.
Solat ini sunat dilakukan secara berjemaah bersama pasangan.
Jika solat ini didirikan pada waktu siang, bacaannya secara perlahan. Sebaliknya jika didirikan pada waktu malam, bacaannya boleh dibaca kuat.
- Mulakan solat dengan niat dalam hati: “Sahaja aku solat sunat nikah dua rakaat kerana Allah Taala” sambil mengangkat takbir.
- Baca Surah Al-Fatihah, kemudian baca surah lazim seperti Surah Al-Kafirun.
- Lakukan rukuk, diikuti dengan dua kali sujud.
- Rakaat Kedua. Mulakan dengan takbir intiqalat, baca Surah Al-Fatihah, diikuti dengan surah lazim seperti Surah Al-Ikhlas. Kemudian, lakukan rukuk dan sujud.
- Duduk untuk tahiyyat akhir dan akhiri solat dengan memberi salam.
- Setelah selesai solat, lanjutkan dengan bacaan doa meminta perkahwinan yang diberkati.
Selepas memberi salam, dianjurkan untuk melakukan sujud syukur.
Nota:
- Anda juga boleh terus dilakukan sujud syukur terlebih dahulu selepas akad tanpa mengerjakan solat sunat nikah yang ditangguhkan pada sebelah malam nanti.
- Ia terpulang kepada kesesuaian dan keselesaan individu dan pasangan tersebut untuk melakukannya.
Memegang ubun-ubun isteri sambil baca doa

Gambar Siti Haidatina.
Terdapat satu doa selepas akad nikah yang disunnahkan oleh Rasulullah SAW, dengan cara pengantin lelaki memegang ubun-ubun isterinya.
Dianjurkan kepada seorang suami meletakkan tangannya di ubun-ubun si isteri ketika pertama kali mendekatinya.
Si suami hendaklah meletakkan telapak tangan kanannya atas puncak kepala isteri (biasanya selepas bersolat sunat berjemaah bersama-sama di malam pertama) dan bacakan doa memohon kepada Allah agar perkahwinannya mendapat keberkatan.

Allahumma Inni As’aluka Min Khairiha Wa Khairi Ma JabalTaha ‘Alaihi. Wa Aa’UuDzubika Min Syarriha Wa Syarri Ma JabalTaha ‘Aalaihi
Doa ini boleh juga dibaca dalam bahasa Melayu:
“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dari kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau tetapkan kepadanya, dan aku berlindung kepada-Mu dari kejahatannya dan kejahatan yang Engkau tetapkan padanya. Ya Allah berkatilah isteriku ini atasku dan lindungi dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya.”
Baca juga: Cara Buat Solat Istikharah Untuk Dapat Jodoh, Tahun Depan Berbunyilah Kompang Depan Rumah!
Sumber: Aku Islam
FT Image: Siti Haidatina
