Perbincangan mengenai isteri yang taat kembali hangat apabila mereka ini ingin menyertai misi kemanusiaan berisiko seperti ke kawasan konflik. Ada yang melihatnya sebagai satu bentuk pengorbanan, namun dari sudut syariat, terdapat garis panduan tertentu yang perlu dipatuhi agar tidak menimbulkan konflik dalam rumahtangga dan masyarakat.
Perkongsian oleh Dr Izhar Ariff, Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pendakwah PU Salman di media sosial memberikan penjelasan penting tentang hukum serta keutamaan menjaga tanggungjawab keluarga sebelum terlibat dalam misi sebegitu seperti Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.
Baca juga: Ramai Ingat Perkara Remeh, Rupanya Sunnah! Ini Cara Anyam Rambut Panjang Jenazah Wanita Dengan Betul
ISTERI YANG TAAT: HUKUM WANITA SERTAI MISI BERISIKO

Gambar Instagram Yayasan Mawaddah: Ardell, Haroqs, Heliza dan Hazwani berlepas ke Barcelona, Sepanyol bagi menjayakan Global GSF 2.0.
Menurut Dr Izhar Ariff, penyertaan isteri dalam misi berisiko tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan keselamatan, tanggungjawab keluarga serta keizinan suami dan ibu bapa.
Dr Izhar menjelaskan bahawa terdapat beberapa keadaan yang menentukan hukum seseorang isteri untuk terlibat dalam misi seperti ke kawasan konflik:
1. Haram jika suami tidak mengizinkan atau rumahtangga terabai
Jika seorang isteri pergi tanpa keizinan suami sehingga menjejaskan urusan keluarga, maka hukumnya adalah haram. Dalam Islam, menjaga rumahtangga dianggap sebagai satu bentuk jihad yang besar.
Namun, sekiranya suami dan ibu bapa memberikan keizinan serta tanggungjawab keluarga terjamin, maka hukumnya boleh menjadi harus selagi syariat dipelihara.
2. Haram jika keselamatan syariat tidak terjamin walaupun suami izin
Walaupun mendapat keizinan suami, penyertaan isteri tetap tidak dibenarkan jika tidak dapat dipastikan aspek keselamatan syariat seperti batas pergaulan, penjagaan aurat dan pengasingan lelaki serta wanita.
Sekiranya pihak penganjur mampu memastikan semua keperluan syariat dan keselamatan wanita dipenuhi, maka penyertaan tersebut boleh menjadi harus.
3. Suami juga tidak boleh abaikan tanggungjawab keluarga
Dalam masa sama, Dr Izhar turut menegaskan bahawa suami juga tidak dibenarkan menyertai misi sekiranya tanggungjawab nafkah terhadap keluarga diabaikan.
Menjaga nafkah keluarga, pendidikan anak-anak dan kebajikan rumah tangga adalah tanggungjawab utama yang tidak boleh diketepikan walaupun dengan niat melakukan kerja kebajikan.

Gambar keratan berita dikongsikan oleh Dr Izhar Ariff di Facebook beliau mengenai isu isteri pergi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.
Hadis jelaskan ganjaran besar bagi isteri yang taat
Dalam perkongsian berasingan, pendakwah PU Salman turut mengingatkan masyarakat supaya tidak memandang rendah peranan wanita yang memilih untuk kekal di rumah dan mengurus keluarga.
PU Salman berkongsi hadis yang menunjukkan betapa besar ganjaran bagi seorang isteri yang taat kepada suami dan menjaga rumah tangga dengan baik.
Antara hadis yang diriwayatkan ialah:
“أَقْرِئِي النِّسَاءَ مِنِّي السَّلَامَ وَقُولِي لَهُنَّ: إِنَّ طَاعَةَ الزَّوْجِ تَعْدِلُ مَا هُنَالِكَ ، وَقَلِيلٌ مِنْكُنَّ تَفْعَلُهُ”
Maksudnya: “Sampaikan salam kepada para wanita dan katakan kepada mereka , ketaatan mereka pada suami menyamai pahala jihad dan mati syahid tetapi sedikit yang berbuat demikian.” snad jayyid atau hasan
Selain itu, terdapat juga kisah sahabiah Asma binti Yazid yang bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai pahala wanita yang menjaga rumah tangga, sedangkan lelaki mendapat peluang melakukan pelbagai ibadah di luar rumah seperti:
- Solat jumaat
- Solat berjemaah
- Ziarah org sakit
- Ziarah org mati
- Haji
- Umrah
- Ribat
- Jihad
Rasulullah SAW kemudian menjelaskan bahawa layanan baik seorang isteri kepada suami, usaha mencari keredaan suami dan mematuhi kehendak suami akan menyamai ganjaran ibadah yang disebutkan oleh Asma tadi.
Perkara ini menunjukkan bahawa peranan seorang wanita dalam keluarga bukanlah sesuatu yang kecil, malah mempunyai nilai pahala yang sangat besar di sisi agama.
Kesimpulannya, penyertaan wanita dalam misi kemanusiaan bukanlah sesuatu yang salah, namun ia perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab serta mematuhi syarat syariat.
Pada masa yang sama, peranan seorang isteri dalam menjaga keluarga dan mentaati suami juga merupakan satu bentuk ibadah yang tinggi nilainya dalam Islam.
Sumber: Facebook Dr Izhar Ariff / PU Salman
FT Image: Gemini AI
