Setiap kali masuk hari ke-13, 14 dan 15 bulan Hijrah, pasti ramai yang mencari niat puasa hari putih kerana ingin menambah pahala dengan amalan sunat.
Amalan ini bukan sahaja mudah dilaksanakan, malah ganjarannya sangat besar sehingga disamakan seperti berpuasa sepanjang tahun. Dalam masa yang sama, ramai juga tertanya-tanya sama ada puasa ini boleh digabungkan dengan puasa qada Ramadan, puasa enam Syawal serta puasa sunat lain seperti hari Khamis.
NIAT PUASA HARI PUTIH & TARIKH PENTING BERMULA HARI INI

Puasa Hari Putih merupakan amalan sunat yang dilakukan selama tiga hari setiap bulan Hijrah, iaitu pada malam-malam bulan purnama yang terang.
Rasulullah SAW bersabda: “Rasulullah SAW memerintahkan kami agar berpuasa pada hari putih iaitu 13, 14 dan 15, dan Baginda bersabda: ia seperti berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Hadis ini menunjukkan betapa besarnya ganjaran bagi mereka yang mengamalkan puasa tersebut secara konsisten.
Niat puasa hari putih (Ayyamul bidh)
نَوَيْتُ صَوْمَ اَيَّامَ الْبَيْضِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari putih kerana Allah Taala.”
Niat puasa Isnin Khamis
نَوَيْتُ صَوْمَ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ / الْخَمِيسِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari Isnin / Khamis kerana Allah Taala.”
Niat puasa enam sahaja
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ شَوَّالْ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa sunat Syawal pada esok hari, kerana Allah Taala.”
Niat puasa qada (Ganti) dan puasa enam syawal
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ قَضَاءٍ فَرْضَ رَمَضَانً وَصَوْمَ شَوَّالْ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa ganti Ramadan yang wajib ke atas diriku beserta puasa sunat Syawal pada esok hari, kerana Allah Taala.”
InsyaAllah, kita cuba niat untuk beramal. Berikut tarikh puasa hari putih bersamaan dengan tarikh puasa sunat lainnya.
Khamis – 13 Syawal, 2 April 2026- Puasa Sunat Hari Putih, Puasa Sunat 6 Syawal & Puasa Sunat Hari Khamis.
Jumaat- 14 Syawal, 3 April 2026- Puasa Sunat Hari Putih, Puasa Sunat 6 Syawal
Sabtu – 15 Syawal, 4 April 2026- Puasa Sunat Hari Putih, Puasa Sunat 6 Syawal
InsyaAllah, kita cuba berniat & melaksanakan puasa hari putih pada bulan ini bermula 2-4 April 2026 bersamaan 13-15 Syawal 1447H.

Boleh gabung niat puasa ke?
Isu menggabungkan niat puasa sering menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat. Dalam Mazhab Syafie, terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama:
Sebahagian ulama berpandangan bahawa seseorang hanya akan memperoleh satu ganjaran utama jika menggabungkan niat, dan ganjaran penuh hanya diperoleh apabila dilakukan secara berasingan.
Namun, terdapat juga pandangan lain yang menyatakan bahawa gabungan niat adalah sah dan seseorang boleh memperoleh pahala bagi kedua-duanya sekali, seperti yang dihuraikan oleh Imam as-Suyuti dan Ibn Hajar al-Haitami.
Menurut pandangan yang dirumuskan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, menggabungkan niat puasa qada dan sunat adalah dibolehkan serta tetap mendapat ganjaran kedua-duanya dengan syarat niat dilakukan sebelum waktu Subuh.
Walau bagaimanapun, cara yang lebih afdal adalah melaksanakan setiap puasa secara berasingan bagi keluar daripada khilaf dan memperoleh ganjaran yang lebih sempurna.
Ganjaran berpuasa pada tarikh-tarikh berkenaan
Puasa Hari Putih merupakan peluang besar untuk menambah amalan dengan ganjaran yang sangat tinggi. Lebih-lebih lagi apabila ia boleh dilaksanakan serentak dengan puasa enam Syawal dan hari Khamis.
Walaupun terdapat kelonggaran untuk menggabungkan niat, umat Islam digalakkan untuk melaksanakannya dengan penuh kesedaran dan keikhlasan. Yang paling penting adalah istiqamah dalam beramal serta mengambil peluang menggandakan pahala sepanjang bulan Syawal ini.
Baca juga: Ramai Tak Tahu…Buang Sampul Duit Raya ‘Design’ INI Boleh Jatuh Berdosa, Jangan Buat Sesuka Hati!
Sumber: Facebook Ustazah Asma Harun
