Dalam dunia moden yang semakin sibuk, amalan beribadah masih menjadi rutin harian bagi ramai masyarakat di seluruh dunia. Menariknya, terdapat beberapa negara paling kuat sembahyang yang merekodkan peratusan tinggi penduduk melakukan ibadah setiap hari dan ada satu nama dalam senarai ini yang mungkin ramai tak sangka berada di kedudukan teratas.
10 NEGARA PALING KUAT SEMBAHYANG, RAKYAT RAJIN BERIBADAH

Gambar BERNAMA: Sultan Ibrahim berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan. Turut sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Menerusi perkongsian oleh portal Seasiastats berdasarkan data kajian antarabangsa seperti Pew Research dan World Bank, beberapa negara dikenal pasti mempunyai kadar amalan sembahyang harian paling tinggi di dunia.
Apa yang menarik, Malaysia juga tersenarai dalam kelompok lima teratas.
1. Indonesia (95%)
Indonesia mencatat kadar tertinggi apabila sekitar 95 peratus rakyatnya melakukan ibadah setiap hari. Sebagai negara dengan populasi Muslim terbesar dunia, amalan solat dan doa sangat dekat dengan kehidupan masyarakat.
Selain Islam, Indonesia juga mempunyai komuniti Kristian, Hindu dan Buddha yang besar, menjadikan budaya keagamaan cukup kuat dalam kehidupan seharian.
2. Kenya (84%)
Kenya berada di tangga kedua dengan sekitar 84 peratus rakyatnya bersembahyang setiap hari.
Walaupun majoriti penduduknya beragama Kristian, ibadah dianggap sebagai sumber kekuatan ketika menghadapi cabaran ekonomi, politik dan kehidupan harian. Budaya sembahyang di negara itu juga dikatakan sangat mendalam termasuk amalan doa yang panjang.
3. Nigeria (84%)
Nigeria turut merekodkan 84 peratus rakyat melakukan ibadah harian.
Negara ini unik kerana masyarakat Islam dan Kristian sama-sama mempunyai budaya sembahyang yang kuat. Malah, ada ketika panggilan azan umat Islam dan sesi morning devotion masyarakat Kristian berlaku hampir serentak pada awal pagi.
4. Malaysia (80%)
Malaysia berada di tangga keempat dengan sekitar 80 peratus rakyat dilaporkan bersembahyang setiap hari.
Sebagai negara berbilang kaum dan agama, amalan ibadah masih menjadi sebahagian besar rutin kehidupan masyarakat. Selain Islam sebagai agama Persekutuan, agama Buddha, Kristian dan Hindu turut diamalkan secara meluas.
5. Filipina (79%)
Filipina mencatat sekitar 79 peratus kadar sembahyang harian.
Sebagai salah satu negara majoriti Kristian terbesar di Asia, pengaruh Katolik cukup kuat dalam kehidupan rakyat termasuk amalan doa keluarga dan sambutan keagamaan.
Baca juga: 13 Sekolah Di Malaysia Yang Dikatakan ‘Keras’, Simpan 1001 Kisah Mistik Sejak Zaman Peperangan!
6. Brazil (76%)
Brazil merekodkan sekitar 76 peratus rakyat melakukan ibadah setiap hari.
Agama masih memainkan peranan besar dalam budaya masyarakat terutama melalui pengaruh Katolik serta perkembangan komuniti Kristian Evangelikal yang semakin meningkat.
7. Bangladesh (75%)
Bangladesh berada di tempat ketujuh dengan 75 peratus rakyat melakukan sembahyang harian. Sebagai negara majoriti Muslim, amalan agama sangat mempengaruhi rutin kehidupan termasuk budaya masyarakat dan aktiviti harian.
8. Ghana (73%)
Di Ghana, sekitar 73 peratus rakyat dilaporkan berdoa atau bersembahyang setiap hari. Institusi keagamaan seperti gereja dan masjid juga memainkan peranan besar sebagai pusat komuniti dan sokongan sosial.
9. Sri Lanka (72%)
Sri Lanka mencatat sekitar 72 peratus rakyat melakukan ibadah setiap hari.
Walaupun majoriti penduduk menganut agama Buddha, negara ini turut mempunyai komuniti Hindu, Islam dan Kristian yang menyumbang kepada kepelbagaian budaya spiritual masyarakat.
10. Colombia (71%)
Colombia melengkapkan senarai dengan sekitar 71 peratus rakyatnya melakukan doa harian. Pengaruh agama Katolik masih sangat kuat dan terus mempengaruhi nilai kekeluargaan, budaya serta sambutan masyarakat setempat.

MALAYSIA NO.4 BUKTI AMALAN IBADAH MASIH KUAT
Melihat kepada senarai ini, jelas menunjukkan amalan sembahyang masih memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat dunia walaupun gaya hidup semakin moden.
Malaysia pula berada di kedudukan cukup membanggakan apabila tersenarai antara negara teratas, sekali gus menunjukkan pegangan agama dan budaya ibadah masih kuat diamalkan dalam kehidupan harian rakyat.
Sumber: Portal Seasiastats
