Cadangan menukar nama Velodrom Nasional di Nilai kini menjadi perhatian selepas Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) meluluskan usul untuk menamakan semula fasiliti itu sebagai Velodrom Azizulhasni.
Usul tersebut dilihat sebagai satu bentuk penghargaan besar terhadap sumbangan legenda berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang yang telah mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
Baca juga: Nampak Sama Tapi Berbeza, Rupanya 8 Warna Baju Banduan Ini Ada ‘Kod Rahsia’ Dalam Penjara!
PKBM LULUS USUL TUKAR NAMA VELODROM NASIONAL KEPADA VELODROM AZIZULHASNI

Gambar BERNAMA.
Usul diluluskan sebulat suara dalam mesyuarat agung
Menurut Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill, cadangan itu telah dipersetujui sebulat suara oleh ahli gabungan dalam Mesyuarat Agung Tahunan badan induk berkenaan.
Beliau berkata hasrat tersebut akan dibawa kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk pertimbangan lanjut kerana velodrom itu adalah milik kerajaan.
“Hari ini, kami sebulat suara bersetuju untuk membawa hasrat ini (pertukaran nama Velodrom Nasional) kepada pihak KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN). Potensi Azizulhasni harus dicerminkan oleh velodrom tersebut,” katanya ketika ditemui media pada Ahad lalu.
Namun begitu, beliau menjelaskan proses penukaran nama bukan sesuatu yang boleh diputuskan secara terus oleh pihak persekutuan.
“Menukar nama bukanlah satu keputusan yang kita sebagai persekutuan boleh buat sendiri dan ia mungkin ambil masa satu atau dua tahun,” katanya lagi.
Baca juga: Jangan Panik Jika Resit Hilang Atau Tak Cukup, Ini 3 Cara ‘Selamat’ Bila Sampai Masa Audit LHDN

Gambar BERNAMA: PRESIDEN PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill (tengah) bergambar bersama perwakilan pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-37 Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) pada Ahad lalu.
Penghargaan buat ikon berbasikal negara
Cadangan ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya mencerminkan pengiktirafan terhadap jasa besar Azizulhasni dalam dunia sukan berbasikal, termasuk kejayaan di pentas Olimpik dan kejohanan antarabangsa.
Untuk rekod, Velodrom Nasional yang menelan kos kira-kira RM80 juta itu telah dirasmikan pada tahun 2017 oleh lima jaguh berbasikal negara termasuk Azizulhasni sendiri.
Menariknya, sekiranya pertukaran nama ini diluluskan, velodrom sedia ada di Dungun, Terengganu yang kini dikenali sebagai Velodrom Azizulhasni juga dijangka akan ditukar nama bagi mengelakkan kekeliruan.
Cadangan menukar nama Velodrom Nasional kepada Velodrom Azizulhasni jelas mencerminkan penghargaan tinggi terhadap ikon sukan negara. Kini, segala keputusan bergantung kepada pertimbangan pihak kerajaan sebelum ia dapat direalisasikan.
Baca juga: BDR Penjawat Awam Bermula Esok! Ini Senarai Negeri Yang Terlibat, Tak Terlibat & Masih ‘On Hold’
Sumber: BERNAMA
FT Image: Instagram CIMBMalaysia / BERNAMA
