Satu video pendek yang dikongsikan di aplikasi TikTok oleh akaun GCS Empire baru-baru ini berjaya mencuri perhatian ramai apabila memaparkan momen penuh emosi antara seorang murid dan gurunya sempena majlis perpisahan Hari Guru.
Menerusi video berdurasi kurang satu minit itu, kelihatan seorang murid lelaki memakai baju T berwarna merah dan kuning tidak dapat menahan sebak ketika berada di majlis perpisahanberkenaan. Tangisannya jelas menggambarkan betapa berat hatinya untuk berpisah dengan guru yang amat disayangi.
MURID MENANGIS MAJLIS PERPISAHAN GURU, RAMAI TURUT SEBAK

Situasi tersebut bertambah menyentuh hati apabila seorang guru lelaki yang dikenali sebagai Cikgu Faiz tampil memujuk murid berkenaan. Guru itu dilihat memeluk dengan penuh kasih sayang sebelum mendukung murid tersebut, seolah-olah cuba menenangkan emosi yang sedang bergelora.
Apa yang lebih mengundang sebak, murid berkenaan turut dilihat memberikan sebentuk cincin kepada gurunya itu sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang. Momen ketika cincin tersebut disarungkan menjadi detik paling menyentuh dalam video berkenaan, sekali gus membuatkan ramai penonton tersentuh hati.
Di ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan perasaan sebak melihat keakraban hubungan antara guru dan murid tersebut. Ada yang mengakui tidak dapat menahan air mata, malah turut mendoakan kesejahteraan kedua-duanya.
“Menangis saya tengok bila adik tu sarungkan cincin dekat cikgu kesayangan dia. Allahu. Semoga adik ini jadi insan berjaya dunia akhirat. Doakan cikgu awak dimurahkan rezeki,” tulis seorang pengguna.
Perkongsian ini secara tidak langsung mengingatkan kita tentang betapa besar peranan seorang guru dalam kehidupan seorang anak. Bukan sekadar mendidik di dalam kelas, malah turut menjadi insan yang membentuk emosi, akhlak dan kenangan indah sepanjang tempoh persekolahan.

Hubungan yang terjalin antara murid dan guru seperti ini juga membuktikan bahawa kasih sayang yang ikhlas mampu meninggalkan kesan mendalam dalam hati seorang anak kecil. Ia bukan sahaja dikenang ketika di bangku sekolah, malah mungkin akan diingati hingga ke dewasa.
Dalam dunia yang semakin sibuk dan pantas ini, momen seperti ini menjadi pengingat bahawa sentuhan kemanusiaan, perhatian dan kasih sayang seorang guru masih menjadi perkara yang paling berharga dalam proses pembelajaran.
Semoga kisah ini menjadi inspirasi buat para pendidik dan juga ibu bapa untuk terus menyemai nilai kasih sayang, empati dan penghargaan dalam diri anak-anak sejak kecil.
@norainimahmood916 Terima kasih cikgu faiz @abe_pa16 atas ilmu yg dicurahkan.
Sumber: TikTok Norainimahmood916
