Muhammad Zafri Aman Shaiful, murid berusia 11 tahun, menghembuskan nafas terakhir selepas dua hari bertarung nyawa akibat dipercayai lemas ketika menyertai aktiviti renang di Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi, baru-baru ini.
Pemergiannya pada hari Jumaat lalu meninggalkan kesan mendalam buat keluarga dan warga sekolah, malah kini Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) sedang menyiasat aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) program berkenaan.
MUHAMMAD ZAFRI MENINGGAL DUNIA AKIBAT LEMAS

Gambar Sinar Harian: Pasangan kembar ini begitu akrab antara satu sama lain.
“Saya dan suami reda dengan pemergian Zafri. Kami tidak salahkan sesiapa kerana cikgu-cikgu sudah menjaga dan mendidik anak kami dengan baik.”
Itu luahan pilu Nur Izati Mohd Hairi, 34, ibu kepada arwah Muhammad Zafri. Menurutnya, walaupun kehilangan itu terlalu perit, dia dan suami, Aman Shaiful Yatin, 39, tetap menerima takdir yang telah tertulis.
“Saya tidak salahkan cikgu kerana mereka sudah menjaga dan mendidik kedua-dua anak saya dengan baik, Zafri selalu cakap dia suka ke sekolah sebab nak jumpa cikgu.
“Setiap kali balik sekolah dia akan cerita tentang aktiviti bersama cikgu, malah, dia ada cikgu kesayangan yang dianggap sahabat baik,” katanya.
Kata Nur Izati lagi, Zafri dan kembarnya, Muhammad Zakir, disahkan menghidap autisme sejak berusia setahun. Mereka sangat rapat dan aktif. Kini, suasana rumah terasa kosong tanpa gelak tawa arwah.
“Rumah kami dulu riuh dengan suara Zafri, dia suka buat bunyi-bunyi sebab itulah cara dia mengekspresikan diri, tapi kini suasana itu tidak sama lagi, rumah kami jadi sunyi.
“Zakir pun banyak termenung, dia cakap rindu abangnya dan mahu tidur di bilik mereka semula,” katanya.
Menurut ibu ini, Zafri kelihatan luar biasa ceria dan bersemangat pagi Rabu sebelum kejadian.
“Selalunya dia mandi bila hari dah cerah, tapi pagi itu dia mandi awal sekitar 6.40 pagi dan tak sabar nak ke kolam renang.
“Malam sebelumnya itu pun dia ada cakap seronok nak buat aktiviti air keesokannya,” katanya.
Namun segalanya berubah apabila dia menerima panggilan telefon daripada guru sekitar 10.38 pagi yang menangis sambil menyebut nama Zafri dan meminta dia segera ke kompleks renang.
“Saya bergegas ke sana dan bila sampai, saya lihat anak sudah terbaring kaku, badannya kebiruan.
“Jurulatih sudah cuba beri bantuan pernafasan tapi saya dimaklumkan nadi Zafri dah tiada, saya hanya mampu berdoa semoga ada keajaiban,” katanya.
Di hospital, pasukan perubatan berjaya memulihkan semula degupan jantung Zafri dan memberikan bantuan pernafasan, namun keadaannya semakin kritikal.
“Saya sangat bersyukur dan anak diberikan rawatan serta bantuan pernafasan namun keadaannya semakin kritikal apabila dia sudah tidak boleh menerima susu (dimasukkan melalui tiub).
“Selain itu otaknya juga tidak dapat memberi maklum balas dan membengkak, itu yang saya dan suami setuju tamatkan bantuan pernafasannya,” katanya
Jenazah Allahyarham Muhammad Zafri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam As-Shuhadah, Sungai Udang, Melaka.
JPWPKL siasat pematuhan SOP

Gambar Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dalam kenyataannya mengesahkan telah memulakan siasatan dalaman bagi meneliti tahap pematuhan SOP bagi penganjuran Program Sokongan Keyakinan Air yang disertai murid pendidikan khas itu.
“Kes ini kini dalam siasatan pihak polis dan JPWPKL akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa,” menurut kenyataan jabatan tersebut pada Sabtu.
JPWPKL turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan telah menyalurkan bantuan awal serta sokongan psikososial melalui pasukan kaunselor dan guru bimbingan kepada murid, guru serta seluruh warga sekolah terlibat.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri ketika mengikuti program berkenaan pada Rabu sebelum dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM untuk rawatan lanjut.
Namun, Muhammad Zafri disahkan meninggal dunia pada Jumaat sekitar jam 2.30 petang.
FT Image: Sinar Harian / Adobe Stock
