Euforia Bola 2026
Inspirasi

Pemuda Kelantan Hasilkan Potret Putera Mahkota Brunei Dihiasi Emas & Swarovski, Dapat Persembahkan Sendiri Kepada Baginda

lukisan potret

Bakat seni seorang pelukis muda dari Kelantan membuka peluang luar biasa apabila beliau diberi kepercayaan menghasilkan lukisan potret khas buat Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah.

Karya tersebut bukan sahaja mendapat perhatian pihak istana, malah turut dipersembahkan sendiri oleh pelukis berkenaan kepada baginda.

Baca juga: “Dia Cuma Ada Saya..”- 10 Tahun Adik Lumpuh, Kakak Sulung Ini Cekal Pegang Amanah Arwah Ibu & Ayah

MUHAMMAD DARWISY HASILKAN LUKISAN POTRET PUTERA MAHKOTA BRUNEI DALAM 20 HARI

lukisan potret

Gambar: TikTok @wisyilukis

Pelukis berkenaan, Muhammad Darwisy Mustafani, 25, dari Kampung Pulau Panjang berkata peluang itu amat bermakna buat dirinya, lebih-lebih lagi apabila dapat menyerahkan karya berkenaan kepada Putera Mahkota Brunei di istana pada 17 Februari lalu sempena majlis ulang tahun keputeraan baginda.

Bermula dengan mesej di Instagram

Menurutnya, peluang tersebut bermula apabila beliau menerima mesej melalui Instagram pada November tahun lalu daripada wakil Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang ingin menempah lukisan potret istimewa dihiasi emas dan batu Swarovski.

“Pada awalnya saya menerima mesej melalui Instagram dalam November tahun lepas daripada wakil Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang ingin menempah lukisan potret bertakhtakan emas dan batu Swarovski.

“Saya mula menghasilkan hampir 10 lakaran draf dan kertas kerja yang mengambil masa agak lama sebelum berjaya mendapat hasil yang benar-benar memuaskan serta diluluskan pihak istana,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu lalu.

Anak kelima daripada lapan beradik itu berkata, beliau hanya mempunyai kira-kira 20 hari untuk menyiapkan potret tersebut walaupun kebiasaannya karya sebegitu boleh mengambil masa lebih daripada sebulan.

Baca juga: Baru Usia 17 Tahun, Iskandar Warid Berjaya Lanjut Pengajian Perubatan Di Universiti Terkemuka Rusia!

lukisan potret

Gambar: TikTok @wisyilukis

Hanya tidur sejam sehari siapkan lukisan

Selepas persetujuan dicapai, kain tenun jenis Silubang Bangsi dihantar kepadanya untuk dijadikan medium melakar potret menggunakan cat akrilik.

“Saya menyiapkan bahagian muka terlebih dahulu, jaitu bahagian paling rumit untuk mendapat lakaran benar-benar mirip.

“Memandangkan masa diberikan agak singkat, tiga hari terakhir saya hanya tidur sejam sehari kerana khuatir lukisan tidak siap,” katanya.

Bagi sentuhan akhir, potret tersebut dihiasi kira-kira 1,000 batu Swarovski hitam serta 20 kepingan emas wafer 999 yang setiap satunya bernilai sekitar RM180. Kepingan emas itu kemudian dipotong kepada 52 bahagian kecil sebagai simbolik kepada usia Putera Mahkota Brunei.

Diberi peluang serah sendiri kepada putera mahkota

Lebih menggembirakan, Muhammad Darwisy pada awalnya menyangka karya itu akan diserahkan oleh pegawai ABDB kepada pihak istana. Namun pada saat akhir beliau diberi kepercayaan untuk mempersembahkan sendiri potret tersebut kepada Putera Mahkota Brunei.

“Saya diminta mempersembahkan potret itu pada majlis santapan di Bangunan Kementerian Pertahanan dan sebaik tamat majlis santapan saya diberi peluang masuk ke istana untuk menghantar potret berkenaan.

“Perasaan bertemu Putera Mahkota Brunei bercampur baur kerana berasa gemuruh dan pada masa sama bersyukur kerana semuanya lancar. Baginda turut bertanya beberapa soalan berkaitan dengan lukisan itu,” kongsinya.

Malah beliau tidak menyangka lukisan tersebut benar-benar menambat hati Putera Mahkota Brunei.

“Saya tidak sangka lukisan itu menambat hati Putera Mahkota Brunei kerana pada awalnya ia dirancang diletakkan di Istana Brunei, namun telah diarahkan untuk dipindahkan ke pejabat baginda di Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Perkongsian pengalaman berharga itu di akaun TikTok miliknya, wisyilukis, turut menarik perhatian ramai apabila video mengenai lukisan tersebut meraih lebih 2.5 juta tontonan serta lebih 154,000 tanda suka.

@wisyilukisDulu Istana Negara, kalini lukisan saya dah sampai Istana Brunei…🥹 Lukisan kalini dilukis atas kain Silubang Bangsi,kain tenunan Brunei, dihiasi dengan emas 999 & kristal swarovski… Menjunjung kasih Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, semoga lukisan hamba ini dapat menghiasi istana Tuanku….♬ Nur Amira_Tari Tualang Tiga – ꧁ R.kay_OfficiaL ꧂

Baca juga: [VIDEO] Aksi Berani 6 ‘Wira’ Kg Pangi! Letak Motosikal Troli Atas Landasan Demi Hentikan Tren Hilang Fungsi Brek

Sumber: BERNAMA / TikTok @wisyilukis

FT Image: TikTok @wisyilukis

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×