Tular di media sosial sebuah video memaparkan motosikal langgar pelajar perempuan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pauh kelmarin.
Video itu menunjukkan seorang pengawal keselamatan sedang memberhentikan kenderaan bagi membolehkan dua orang murid perempuan melintas.
MOTOSIKAL LANGGAR PELAJAR PEREMPUAN DEPAN SEKOLAH, TAK BERHENTI LANGSUNG

Namun, sebuah motosikal dilihat tidak berhenti dan telah melanggar salah seorang murid, menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kejadian berlaku sewaktu waktu tamat persekolahan.
“Ketika insiden berlaku, murid perempuan berusia lapan tahun itu sedang melintas jalan bersama rakannya sebelum dia dirempuh oleh sebuah motosikal. Akibat perlanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan ringan pada bahagian buku lali kiri,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, laporan polis berkaitan kejadian telah diterima dan usaha sedang dijalankan untuk mengesan individu yang menunggang motosikal terbabit.
Dalam pada itu, Helmi menyeru saksi kejadian atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat agar tampil ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Azrol Md Rejab di talian 019-5429571 bagi membantu siasatan.
Polis menasihatkan orang ramai, khususnya pengguna jalan raya, agar lebih berwaspada terutamanya ketika melalui kawasan sekolah serta mematuhi undang-undang lalu lintas demi keselamatan bersama. Kes tersebut disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).
Baca juga: Tikus ‘Gergasi’ Berlegar Atas Bekas Telur Di Kedai Makan, Pelanggan Sempat Rakam Sebagai Bukti!
Sumber: Facebook & Berita Harian
