Cadangan membawa masuk jururawat Indonesia bagi menangani kekurangan tenaga kerja kesihatan di Malaysia kini menjadi perhatian selepas Persatuan Jururawat Lelaki Malaysia (MMN) tampil menyuarakan pendirian tidak bersetuju secara terbuka, sekiranya langkah itu dilaksanakan tanpa penelitian menyeluruh.
MMN BANTAH USUL KEMASUKAN JURURAWAT INDONESIA SECARA TERBUKA

Gambar hiasan: Tangkap layar laporan berita AWANI dan dijana semula dengan AI.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, MMN menegaskan bahawa pendirian tersebut bukan bersifat prejudis terhadap profesionalisme tenaga kerja kesihatan dari Indonesia, sebaliknya lebih kepada menjaga standard penjagaan pesakit dan kestabilan sistem kesihatan negara dalam jangka panjang.
Menurut MMN, terdapat beberapa perkara utama yang perlu diberikan perhatian termasuk perbezaan standard latihan kejururawatan, kelayakan akademik, prosedur klinikal serta aspek komunikasi dalam bahasa Melayu dan dialek tempatan.
“Perkara ini secara langsung boleh mempengaruhi penyampaian rawatan yang selamat dan berkesan kepada pesakit Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Baca juga: Detik Cemas Jantung Terhenti Sebelum Prosedur, Bayi 4 Bulan Selamat Jalani Pemindahan Hati Di PPUM!
Utamakan graduan tempatan
Dalam masa sama, MMN turut membangkitkan isu graduan kejururawatan tempatan yang masih belum mendapat penempatan tetap sama ada di hospital kerajaan mahupun swasta.
Justeru, mereka berpandangan keutamaan sewajarnya diberikan kepada tenaga kerja tempatan sebelum mempertimbangkan pengambilan tenaga kerja asing secara lebih terbuka.
“Kemasukan jururawat asing secara besar-besaran tapa perancangan rapi boleh menjejaskan peluang pekerjaan warganegara dan juga membebankan sistem latihan adaptasi tempatan,” jelas kenyataan itu.

Gambar hiasan: Tangkap layar laporan berita AWANI dan dijana semula dengan AI.
Gesa kajian impak menyeluruh dilakukan
Sehubungan itu, MMN menyeru pihak berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) supaya meneliti setiap implikasi sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Antara aspek yang dicadangkan untuk diperhalusi termasuk undang-undang, etika profesional, sosioekonomi dan keselamatan pesakit selain pelaksanaan kajian impak secara menyeluruh.
Menurut MMN, sekiranya kemasukan tenaga kerja asing benar-benar diperlukan, pengambilan itu seharusnya bersifat sementara, terhad jumlahnya dan tertakluk kepada syarat lesen sementara yang lebih ketat.
“Kesimpulannya, MMN menegaskan bahawa kebajikan pesakit, maruah profesion kejururawatan tempatan, dan peluang pekerjaan warganegara tidak boleh dikorbankan demi menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja secara jangka pendek,” katanya.
Sumber: Facebook Persatuan Jururawat Lelaki Malaysia
FT Image: AWANI (Gemini AI)
