Isu mengenai air oksigen ‘tinggI’ yang dikatakan dapat melegakan batuk, meningkatkan tenaga, membantu detoksifikasi, atau memberi manfaat kepada paru-paru semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat. Namun, menurut Public Health Malaysia, dakwaan ini tidak disokong oleh bukti saintifik.
Baca juga: Suami Hampir Diserang Sakit Jantung Kerana Vape & Minuman Tenaga, Wanita Kongsi Pengalaman Cemas
AIR OKSIGEN TINGGI TAK BOLEH RAWAT BATUK & PARU-PARU

Freepik
“Ramai yang tanya tentang “air beroksigen tinggi” yang kononnya boleh bagi kelegaan batuk, bagi tenaga, detoks, malah ada yang kata bagus untuk paru-paru. Kedengaran meyakinkan, tetapi bila kita buka buku sains… ceritanya lain sekali.
“Hakikat paling asas: oksigen yang badan guna tidak diserap melalui perut. Air yang kita minum akan turun ke sistem pencernaan.
“Oksigen pula perlu masuk melalui paru-paru, di mana ia diserap oleh alveoli untuk dibawa ke seluruh badan. Dua sistem ini tidak bersilang,” jelasnya.
Beberapa kajian telah dijalankan bagi menilai kesan air beroksigen terhadap stamina, pemulihan otot, kadar oksigen dalam darah dan prestasi atlet.
Hasil kajian menunjukkan tiada perubahan yang ketara di mana kadar oksigen dalam darah kekal normal, prestasi fizikal tidak meningkat dan tiada manfaat tambahan berbanding air biasa.

Freepik
“Air memang boleh melarutkan sedikit oksigen, tetapi oksigen itu tidak stabil, mudah hilang apabila botol dibuka atau suhu berubah. Jadi ‘kandungan tinggi oksigen’ itu pun sebenarnya tak kekal.
“Jadi walaupun botol itu ditulis ‘tinggi oksigen’, oksigen tersebut tidak boleh melompat dari perut ke darah lalu memperbaiki paru-paru atau legakan batuk,” ujarnya.
Bagi masalah batuk atau penyakit pernafasan, tiada bukti kajian menunjukkan bahawa air beroksigen dapat memberikan sebarang kelegaan. Batuk biasanya berlaku akibat keradangan saluran pernafasan, penghasilan lendir, jangkitan atau alahan dan perkara ini tidak dapat diperbaiki semata-mata melalui pengambilan air beroksigen.
Kesimpulannya, tiada masalah untuk meminum air oksigen tinggi sekadar kerana suka dengan rasanya atau sebagai sebahagian daripada gaya hidup. Namun, dari sudut sains, manfaat kesihatan yang dikaitkan dengan air beroksigen masih tidak terbukti.
Baca juga: KKM Pertimbang Ambil Jururawat Luar Negara, Bantu Kekurangan Tenaga Kerja Hospital Awam
Sumber: Facebook
