Euforia Bola 2026
Famili

Hari Pertama Prasekolah Jadi Cabaran Buat Adik Missclyen, Penghidap Sindrom ‘Werewolf’- Ada Rakan Sekelas Lari!

Sindrom Werewolf

Kanak-kanak yang pernah mencuri perhatian ramai kerana menghidap Sindrom Werewolf, Missclyen Roland kini melangkah ke alam persekolahan apabila mula mengikuti kelas prasekolah di Bintulu, Sarawak.

Meskipun hari pertama persekolahannya bukan mudah, kanak-kanak berusia lima tahun itu dilaporkan semakin menunjukkan perkembangan positif dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah baharunya.

Baca juga: “Arwah Tak Pandai Berenang Tapi…”- Kanak-Kanak 12 Tahun Lemas Selepas Pertaruh Nyawa Selamatkan Rakan, Tragedi Pilu…

MISSCLYEN PENGHIDAP SINDROM WEREWOLF KINI PRASEKOLAH!

Sindrom Werewolf

Gambar: Instagram The Star

Missclyen mula menghadiri prasekolah di SK Sungai Tisang pada Isnin lalu dan menerima reaksi bercampur daripada 24 orang rakan sekelasnya. Ada murid yang kelihatan takut, ada yang mentertawakan dan tidak kurang juga yang menjauhkan diri daripada kanak-kanak tersebut.

Bapanya, Roland Jimbai berkata, pengalaman pada hari pertama itu agak mencabar buat anaknya yang masih kecil dan belum memahami sepenuhnya reaksi orang sekeliling.

“Hari pertama memang berbeza. Ada rakan sekelas yang lari keluar dari bilik darjah, ada yang takut dan ada juga yang ketawa. Keadaan itu membuatkan anak saya berasa tertekan,” katanya.

Bagaimanapun, situasi dilihat semakin berubah pada hari kedua apabila beberapa rakan sekelas mula mendekati dan bergaul dengan Missclyen. Perkembangan itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada keluarga yang kini memantau proses penyesuaian anak mereka di sekolah.

Menurut Roland, pihak sekolah bersama pihak berwajib menasihatkan agar Missclyen terus menghadiri sekolah untuk beberapa hari bagi melihat sama ada dia dapat menyesuaikan diri dengan selesa sebelum sebarang keputusan jangka panjang dibuat.

“Kebiasaannya, kanak-kanak memerlukan masa sekitar seminggu untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu sebelum mula berinteraksi dengan rakan-rakan lain. Setiap kanak-kanak berbeza dan kami memahaminya,” jelasnya.

Berdepan cabaran awal tidak mematahkan minat dan semangat Missclyen ke sekolah

Walaupun berdepan cabaran awal, Missclyen sebenarnya menunjukkan minat untuk ke sekolah. Apabila ditanya sama ada dia suka bersekolah, kanak-kanak itu menjawab ya dengan penuh yakin.

Dia juga teruja melihat abang dan kakaknya ke sekolah setiap hari. Dua daripada adik-beradiknya bersekolah di sekolah yang sama, dengan abang berada di Tahun Satu manakala kakaknya di Tahun Empat. Kakak sulung mereka pula kini menuntut di Tingkatan Satu.

Roland berkata, kehadiran adik-beradik di sekolah yang sama membantu Missclyen berasa lebih selamat dan yakin untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

“Buat masa ini, kami masih memantau perkembangannya dan dalam proses melengkapkan dokumen yang diperlukan sebelum memuktamadkan pengaturan persekolahannya,” katanya lagi.

Baca juga: “Rindunya..”- Anak Kedua Dah Masuk Asrama TKC, Dr Sheikh Muszaphar Luah Perasaan Berat Lepaskan Tasha

Untuk makluman, Sindrom Werewolf atau dikenali dalam istilah perubatan sebagai hypertrichosis merupakan keadaan genetik yang sangat jarang berlaku dan dicirikan oleh pertumbuhan bulu berlebihan di seluruh badan.

Kanak-kanak yang menghidap keadaan ini sering berdepan cabaran sosial akibat kurangnya kesedaran dan pemahaman masyarakat, terutamanya dalam kalangan rakan sebaya di peringkat awal persekolahan.

Missclyen sebelum ini pernah menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, semasa persinggahan Kembara Kenali Borneo di Masjid Al-Falah, Bintulu kira-kira tiga tahun lalu ketika usianya baru dua tahun.

Susulan pertemuan tersebut, Tunku Azizah tampil menawarkan diri sebagai penaung kepada Missclyen dengan memberikan sokongan dari segi pendidikan serta rawatan perubatan.

Baca juga: Hebatnya Kasih Sayang Ammar… Cucu Usia 10 Tahun Pujuk Atok Makan Ubat & Tadah Air Kencing Sentuh Hati Ramai

Sumber: The Star

FT Image: The Star / Kesultanan Pahang

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×