Kecekalan dan semangat luar biasa seorang remaja lelaki berusia 18 tahun, Ali Fahmi Hasan Fahmi yang mengalami mild autism membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil apabila impian disertai usaha dan keyakinan diri.
Walaupun Ali menghidapi mild autism dan merupakan anak tunggal dalam keluarganya, dia bersedia melangkah ke dunia pendidikan tinggi apabila diterima masuk ke Program Asasi Sains Putra di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Baca juga: Kejut Anak Bangun Pagi Macam ‘Perang’? Cuba Teknik Psikologi Ini, Ibu Ayah Pun Lebih Tenang
MILD AUTISM TAK HALANG ALI FAHMI DAPAT 9A SPM, KINI GAPAI CITA-CITA DI UPM

“Pemilihan program serta universiti ini merupakan pilihan pertama saya kerana tidak jauh dari keluarga dan saya ingin mengejar impian saya sebagai doktor haiwan. Saya tahu bahawa UPM mempunyai reputasi yang baik dalam bidang sains pertanian dan veterinar.
“Saya memperoleh 9A dalam peperiksaan SPM dan pada waktu itu saya menjadi lebih yakin untuk mengejar cita-cita,” ujar Ali.
Bagi Ali, cabaran yang datang bersama spektrum autism bukanlah penghalang, sebaliknya menjadi pemangkin semangat untuk terus berusaha. Dengan sokongan keluarga dan kekuatan dalaman, dia terus melangkah ke hadapan demi mencapai impian.
“Teruskan mencuba pelbagai perkara, jangan pernah berputus asa kerana setiap orang mempunyai kekuatannya sendiri,” pesannya penuh inspirasi.

Ali menyimpan hasrat untuk membantu haiwan yang sakit dan minatnya dalam bidang sains serta kasih sayangnya terhadap makhluk hidup menjadi asas kepada impian tersebut. Kini, langkah pertamanya di UPM menjadi titik tolak kepada masa depan yang lebih cerah.
Kisah Ali Fahmi bukan sekadar kisah kejayaan akademik, tetapi juga lambang ketabahan seorang remaja yang berani menongkah arus, membuktikan bahawa autisme bukan penghalang untuk berjaya, malah mampu menjadi kekuatan yang membawa seseorang menuju kejayaan luar biasa.
Baca juga: Ibu Dakwa Anak Dibakar Oleh Rakan Ketika Bermain, Kini Cacat Kekal & Ingin Tuntut Keadilan!
Sumber: Facebook
