Menerusi laman Instagram milik Dr Izzat, Doktor Kesihatan Wanita, dia ada berkongsi pengalaman dan penjelasan mengenai fenomena menggigil selepas bersalin yang sering menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu-ibu.
Menurutnya, keadaan ini dikenali sebagai labour shakes atau postpartum shivering dan ia merupakan sesuatu yang normal serta kerap berlaku selepas proses kelahiran.
Baca juga: Ibu Hamil 8 Bulan Meninggal Dalam Senyuman, Suami Tak Sangka Isteri Sakit Seteruk Ini…
IBU MENGGIGIL SELEPAS BERSALIN, RUPANYA ITU TANDA ….

Freepik
Dalam perkongsian tersebut, Dr Izzat menjelaskan bahawa ramai ibu berasa hairan dan bimbang apabila tubuh mereka mula menggigil secara tiba-tiba sebaik sahaja selesai bersalin.
Ada yang menyangka ia petanda masalah serius, sedangkan ia hanyalah tindak balas semula jadi tubuh terhadap perubahan besar yang sedang berlaku. Katanya, sama ada melahirkan secara normal atau melalui pembedahan caesarean, kedua-duanya boleh mengalami simptom ini.
Dr Izzat turut menyatakan bahawa perubahan hormon secara mendadak selepas bersalin, terutamanya penurunan hormon estrogen, progesteron dan oxytocin, memainkan peranan besar dalam gangguan sistem kawalan suhu badan.
“Kejadian yang normal terjadi lepas bersalin. Banyak sebab. Antaranya perubahan hormon estrogen, progesteron dan oxytocin yg mendadak akan kacau thermoregulation – cara badan kawal haba. Shivering adalah satu cara badan untuk mengeluarkan haba,” jelasnya.
Tambahnya lagi, walaupun situasi ini boleh kelihatan mengganggu dan menakutkan, ia tidak membahayakan dan tidak memerlukan sebarang rawatan khusus.

Freepik
Rawatan asas seperti menyelimutkan badan ibu sudah mencukupi untuk menenangkan keadaan. Namun, sekiranya menggigil berlarutan dalam tempoh yang lama, atau disertai dengan simptom seperti demam dan kelemahan melampau, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan untuk menolak kemungkinan jangkitan seperti sepsis atau chorioamnionitis.
Melalui perkongsian ini, Dr Izzat berharap lebih ramai wanita, terutamanya yang bakal melahirkan anak, dapat memahami keadaan ini dan tidak terlalu cemas jika mengalaminya.
Kesedaran ini penting agar ibu-ibu dapat melalui proses bersalin dan pemulihan dengan lebih tenang, serta tahu bila perlu mendapatkan bantuan perubatan jika perlu.
Baca juga: Kajian Dedah Otak Wanita Mengecil Ketika Hamil, Ambil Masa 6 Bulan Untuk Kembali Normal!
Sumber: Instagram Dr Izzat
