Tragedi yang ibu bapa paling tidak mahu berlaku kepada anak-anak adalah apabila mereka mengalami kecederaan serius seperti mata anak bengkak bukan? Terbaharu, seorang kanak-kanak lelaki berusia hampir tiga tahun mengalami kecederaan parah pada mata kanannya apabila secara tidak sengaja tercucuk pensel dalam satu kejadian di Jerantut.
Akibat kecederaan itu, dia terpaksa menjalani pembedahan segera bagi menyelamatkan penglihatannya!
BERKEJAR 130KM SEBAB MATA ANAK BENGKAK TERCUCUK PENSEL!

Foto: Harian Metro
Menurut laporan Harian Metro, mangsa, Ahmad Faqeeh Rizky Ahmad Rizzuaza, sedang menerima rawatan lanjutan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh, selepas terlebih dahulu mendapatkan rawatan awal di Hospital Jerantut.
Menurut ibunya, Wan Siti Fatimah Wan Abdullah Hashim, 26, kejadian berlaku sekitar jam 11.30 pagi ketika beliau sedang menyediakan makanan di dapur. Pada masa itu, anaknya bermain di ruang tamu bersama sepupu sambil diberikan buku mewarna dan pensel untuk melukis.
“Saya beri dia alat mewarna supaya dia leka bermain sementara saya memasak. Tapi tak lama kemudian saya terdengar dia menangis kuat. Bila saya keluar, saya lihat dia sedang menekup mata kanan dan terdapat kesan bengkak serta kemerahan yang jelas,” katanya.
Wan Siti Fatimah segera membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Kampung Bantal untuk rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Jerantut. Namun, disebabkan tahap kecederaan yang serius, Ahmad Faqeeh seterusnya dipindahkan ke HOSHAS, Temerloh yang terletak kira-kira 130 kilometer dari kediaman mereka.
Hasil pemeriksaan mendapati bahawa selaput mata kanan kanak-kanak itu telah rosak dan berisiko menyebabkan kehilangan penglihatan kekal jika tidak dirawat segera.
“Pembedahan dilakukan bagi membaiki kecederaan tersebut dan membantu memulihkan semula deria penglihatan anak saya,” jelas Wan Siti Fatimah.
Namun begitu, beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap proses rawatan susulan memandangkan lokasi hospital yang jauh serta kekangan kewangan dan pengangkutan untuk berulang-alik ke sana.
*Didoakan semoga segala urusan keluarga ini dipermudahkan dan anak kembali sihat seperti sedia kala.
Baca juga: “Dari Nasyid..Lahirnya Seorang Huffaz”- Anak Bongsu Syah Inteam Khatam Al-Quran Dalam 11 Bulan
Sumber: Harian Metro
