Dalam usaha membantu rakyat mendapatkan peluang pekerjaan yang sesuai dengan lebih mudah dan efisien, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah membangunkan Aplikasi MYFutureJobs sebagai platform pencarian kerja nasional berasaskan teknologi.
Aplikasi ini menjadi pelengkap kepada Portal MYFutureJobs sedia ada, dan hadir sebagai satu inovasi digital yang menyasarkan kemudahan akses kepada pasaran kerja tempatan, terutama melalui telefon pintar.
Aplikasi ini telah dilancarkan secara rasmi sempena Sambutan Hari Pekerja 2025 oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Anwar bin Ibrahim, sebagai langkah penting kerajaan dalam memperkukuh ekosistem pencarian kerja negara secara digital.
Apa itu aplikasi MYFutureJobs?

Aplikasi MYFutureJobs merupakan platform pencarian pekerjaan nasional yang dibangunkan oleh PERKESO bagi memudahkan pencari kerja mencari peluang pekerjaan serta membantu majikan mengiklankan jawatan kosong.
Sebelum ini, pengguna perlu mengakses portal ini menerusi komputer atau desktop. Kini, dengan adanya aplikasi mudah alih, pengguna boleh mendapatkan akses kepada peluang pekerjaan secara terus melalui telefon pintar.
Langkah ini selari dengan data yang menunjukkan bahawa 70% pencari kerja menggunakan telefon pintar untuk mengakses portal MYFutureJobs, sekali gus menjadikan pembangunan aplikasi ini sebagai satu inisiatif lebih mesra pengguna dan efisien.
Apa fungsi yang boleh digunakan di aplikasi MYFutureJobs?
Aplikasi ini dibangunkan dengan pelbagai fungsi penting bagi memudahkan pengguna dalam setiap langkah pencarian kerja, antaranya:

1. Padanan Kerja Pintar (Smart Job Matching)
Aplikasi ini menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mencadangkan kerja yang bersesuaian
berdasarkan profil, kemahiran, dan pilihan pekerjaan pencari kerja. Jadi, pencari kerja tidak perlu lagi menapis satu per satu secara manual, segala cadangan akan disesuaikan secara automatik.
2. Permohonan Kerja Mudah & Cepat
Pengguna kini boleh menghantar permohonan hanya dengan satu klik, terus dari telefon. Fungsi ini amat berguna bagi mereka yang tidak mempunyai akses komputer atau yang sentiasa bergerak.
3. Kemaskini & Jejak Status Permohonan
Setiap kali pengguna menghantar permohonan kerja, aplikasi ini akan menjejak status terkini, sama ada diterima, dijemput temu duga atau sebarang notifikasi lain. Ini menjadikan proses pencarian kerja lebih tersusun dan teratur.
4. Akses 24/7 Di Mana Saja
Aplikasi ini membolehkan pengguna mengakses ribuan peluang pekerjaan dengan mudah pada bila-bila masa dan di mana sahaja melalui telefon pintar.
Dibangunkan oleh kerajaan & 100% percuma!
Berbeza dengan kebanyakan platform pencarian kerja lain, Aplikasi MYFutureJobs dibangunkan oleh sebuah agensi kerajaan yang sah iaitu PERKESO. Justeru, pengguna boleh mengakses platform ini dengan lebih yakin dari segi keselamatan dan ketelusan data.
Lebih meyakinkan, aplikasi ini ditawarkan secara percuma sepenuhnya kepada semua. Baik pencari kerja mahupun majikan. Tiada bayaran untuk fungsi premium, tiada caj tersembunyi, menjadikannya satu pilihan yang adil dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat.
Tambahan pula, fokus aplikasi ini adalah untuk memadankan pekerja dengan pasaran buruh tempatan, menjadikannya lebih relevan bagi mereka yang sedang mencari kerja di kawasan sendiri atau dalam sektor yang berkembang di Malaysia.
Sambutan menggalakkan serta penambahbaikan berterusan
Dalam tempoh hanya sebulan selepas dilancarkan, aplikasi ini telah mencatat lebih 51,000 muat turun, membuktikan sambutan yang sangat positif daripada rakyat Malaysia.
Ia jelas menunjukkan bahawa platform ini bukan sahaja diperlukan, tetapi juga digunakan secara aktif oleh mereka yang ingin mengubah masa depan kerjaya mereka.
Melihat kepada permintaan yang tinggi, PERKESO turut merancang beberapa penambahbaikan aplikasi dalam masa terdekat. Ini termasuklah penambahan sokongan dwibahasa, rekaan antara muka yang lebih mesra pengguna, dan fungsi biometrik seperti cap jari serta pengecaman wajah untuk log masuk dengan lebih mudah.
Selain itu, aplikasi ini juga akan menawarkan ciri “Job Near Me”, iaitu satu fungsi yang membolehkan pengguna melihat senarai kerja berhampiran lokasi mereka, dan dashboard khas untuk menjejak semua permohonan yang telah dibuat.
Jadi tunggu apa lagi? Muat turun sekarang untuk peluang kerjaya yang lebih luas!

Dengan kemudahan yang ditawarkan oleh Aplikasi MYFutureJobs, pencarian kerja kini tidak lagi membebankan. Ia lebih mudah, lebih cepat, dan yang paling penting lebih sesuai dengan keperluan sebenar rakyat Malaysia.
Sekiranya anda sedang mencari pekerjaan, atau ingin membantu seseorang dalam keluarga mendapatkan peluang kerjaya, aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma hari ini di Google Play Store dan App Store.

