Bagi individu yang mengalami masalah ADHD, cabaran harian bukan sekadar sukar fokus semata-mata. Ada yang berdepan masalah mudah lupa, susah urus masa, sering tangguh kerja atau rasa ‘serabut’ walaupun perkara kecil.
Menerusi satu perkongsian di Facebook, Public Health Malaysia (PHM) menjelaskan bahawa ADHD bukan tanda seseorang itu malas atau tidak berusaha, sebaliknya sesetengah individu memerlukan sistem tertentu untuk membantu hidup jadi lebih tersusun.
Baca juga: Mama Papa Jangan Sembur Sembarangan, Ini Cara Betul Guna Nasal Spray Pada Bayi & Anak Kecil
5 TIP KECIL BANTU HIDUP DENGAN MASALAH ADHD

Gambar hiasan: Gemini AI
Menurut perkongsian itu, ada tip kecil yang nampak remeh tetapi sebenarnya boleh membantu individu dengan ADHD mengurus rutin harian dengan lebih baik.
1. Guna lampu dan pemasa sebelum penggera berbunyi
Kalau susah bangun pagi, cuba gunakan lampu terang dengan pemasa (timer) beberapa minit sebelum penggera berbunyi.
Cahaya pagi dikatakan boleh membantu badan lebih bersedia untuk bangun dan menyokong corak tidur yang lebih stabil bagi sesetengah individu.
Selain itu, jika selalu terlupa makan ubat, mandi, bayar bil atau siapkan tugasan, gunakan alarm, checklist, sticky note atau whiteboard sebagai sistem peringatan.
PHM menegaskan, sistem seperti ini bukan bermaksud seseorang itu “manja”, tetapi ia merupakan alat bantu harian.
2. Laraskan suhu bilik ikut waktu
Menurut perkongsian itu, suhu bilik juga boleh memainkan peranan terhadap rutin tidur.
Cuba jadikan bilik lebih sejuk sebelum tidur dan lebih hangat ketika waktu bangun bagi membantu tubuh menyesuaikan diri dengan rutin harian.
3. ‘Tumpang’ rutin yang sudah ada
Kalau susah mulakan sesuatu kerja, jangan tunggu mood datang.
Sebaliknya, sambungkan tugasan dengan rutin yang memang sudah berlaku. Contohnya, terus beli barang dapur selepas balik kerja kerana ketika itu anda memang sudah berada di luar rumah.
Kaedah ini membantu otak bergerak lebih mudah apabila satu aktiviti disambung dengan aktiviti lain.

Gambar hiasan: Gemini AI
4. Letak barang penting depan pintu
Kalau jenis selalu tertinggal barang, jangan terlalu bergantung pada ingatan semata-mata.
Letakkan barang penting seperti beg, dokumen atau kunci berhampiran pintu keluar supaya mudah nampak sebelum keluar rumah.
Jika barang disimpan dalam peti sejuk sekalipun, tampalkan nota pada pintu sebagai peringatan visual.
5. Sediakan bakul ‘campak dulu’
Rumah cepat bersepah dan tak cukup tenaga untuk mengemas? PHM mencadangkan supaya setiap ruang rumah mempunyai satu bakul kecil khas untuk meletakkan barang sementara.
Apabila keadaan lebih tenang dan fikiran lebih lapang, barulah barang tersebut disusun semula dengan lebih teratur.
Dalam masa sama, PHM turut mengingatkan bahawa tip ini bukan pengganti kepada pemeriksaan profesional.
Jika masalah fokus, emosi, tidur, impulsif atau pengurusan hidup mula mengganggu kerja, hubungan dan keselamatan diri, dapatkan nasihat doktor atau profesional kesihatan mental.
Kadang-kadang, apa yang diperlukan bukan hidup yang sempurna, tetapi sistem kecil yang cukup membantu untuk kita terus berfungsi dengan lebih baik setiap hari.
Sumber: Public Health Malaysia
FT Image: Public Health Malaysia
