Pelakon Fazreen Rafi menerusi laman Instagram ada berkongsi kisah mengenai anak lelakinya, Haq, mencatat keputusan luar biasa dengan memperoleh markah peperiksaan 100% dalam semua 10 subjek Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) baru-baru ini.
Kejayaan itu menjadi lebih manis apabila Haq berjaya menunaikan ‘cabaran’ yang diberikan bapanya sendiri. Pada awalnya, Fazreen sekadar bergurau menawarkan ganjaran RM1,000 jika Haq berjaya mencapai markah sempurna. Namun, gurauan itu akhirnya bertukar menjadi satu janji yang perlu ditunaikan.
Baca juga: Senarai Penuh Pengelola Jemaah Haji 2026 Yang Berdaftar, Jangan Tersalah Pilih Takut Duit Lesap!
DAPAT MARKAH PEPERIKSAAN 100%, FAZREEN RAFI KENA BAGI ANAK RM1000

Menerusi perkongsian di media sosial, Fazreen mengakui tidak menyangka kata-katanya akan menjadi motivasi besar buat anaknya.
“Tak pasal-pasal melayang RM1,000 Faz… Ceritanya macam ni. Dua minggu lepas, masa ambil anak-anak balik sekolah, Faz tanya macam mana exam. Haq pula dengan selamba jawab yang exam senang dan dia boleh dapat 100%.
“Faz, dengan yakinnya, balas: “Mengarutlah Haq boleh dapat 100% dengan tak study-nya.” Lepas tu Faz saja-saja cakap, “Kalau Haq dapat 100%, daddy bagi RM1,000. Haq terus teruja dan jawab, “Sumpah, janji.” Sudahnya, tak pasal-pasal budak Haq ni dapat RM1,000. Lagi membuatkan Faz cuak, Haq kata ada lagi dua kertas yang dia yakin boleh dapat 100%,” ujarnya.
Menurut Fazreen, saat keputusan keluar, Haq benar-benar berjaya mencapai markah penuh sekaligus melayakkan dirinya menuntut ganjaran yang dijanjikan.
Malah, Haq memberitahu masih ada beberapa kertas peperiksaan lain yang dia yakin boleh memperoleh keputusan sama.

Fazreen secara berseloroh berkata dia seperti terkena jerat sendiri dan bersiap sedia untuk ‘melayang’ lebih banyak duit jika anaknya terus konsisten.
Pelakon drama Suamiku Paling Sweet dan Pengantin 100 Hari itu turut berkongsi detik lucu ketika anak keempatnya menunjukkan wajah teruja menuntut ganjaran yang dijanjikan.
“Mulut ni kadang-kadang laju sangat. Sekali cakap, kena tunaikan. Lepas ni saya kena fikir banyak kali sebelum buat janji pelik-pelik. Ramai pula yang suka tengok Haq berjaya,” katanya.
Fazreen yang kini aktif dalam dunia perniagaan berkahwin dengan Syarifah Marlina Ashikin. Mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Mohd Rizqin Quwais, 11, Rizqeen Humaira, 10, Mohd Rizqin Haqq, 7 Serta seorang lagi anak perempuan.
Baca juga: Percutian Di Langkawi Tukar Tragedi, Kanak-Kanak Rusia 2 Tahun Maut Disengat Ubur-Ubur
Sumber: Instagram
