Satu cadangan kontroversial telah mencetuskan perdebatan hangat apabila lelaki miskin dikaitkan secara langsung dengan prosedur vasektomi sebagai syarat untuk menerima bantuan sosial.
Usaha yang dikatakan bertujuan mengurangkan kadar kelahiran dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah ini dilihat oleh sesetengah pihak sebagai tidak berperikemanusiaan dan mencabuli hak asasi manusia.
Baca juga: Jangan Beli & Guna Produk Penjagaan Kulit Ini, KKM Dah ‘Banned’ Ada Racun Bahaya!
MANDULKAN LELAKI MISKIN

Cadangan Dedi Mulyadi (gambar kecil) untuk menjadikan prosedur vasektomi sebagai syarat pemberian bantuan sosial kepada lelaki miskin mencetuskan kontroversi. Gambar hiasan.
Sebagaimana, cadangan Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi, untuk menjadikan prosedur vasektomi sebagai syarat pemberian bantuan sosial kepada lelaki miskin mencetuskan kontroversi hebat dalam kalangan rakyat Indonesia.
Langkah yang diumumkan pada 29 April lalu itu dikatakan bertujuan untuk mengekang kadar kelahiran dalam kalangan keluarga miskin, dengan matlamat jangka panjang mengurangkan kemiskinan tegar di wilayah berkenaan.
“Kalau seseorang tidak mampu membiayai kehamilan dan pendidikan anak, lebih baik jangan terburu-buru mahu menjadi ibu bapa,” ujar Dedi dalam kenyataan yang mendapat perhatian meluas media tempatan.
Namun, kenyataan tersebut segera mencetuskan perdebatan hangat melibatkan tokoh agama, pemimpin masyarakat, pakar akademik, pertubuhan hak asasi manusia, dan rakyat jelata yang menganggap cadangan itu sebagai keterlaluan, tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan hak asasi.
Vasektomi merupakan kaedah perancang keluarga kekal untuk lelaki. Ia melibatkan prosedur kecil di mana saluran yang membawa sperma dari buah zakar dipotong dan ditutup.
Prosedur ini mencegah kehamilan dengan menghalang sperma daripada bercampur dengan air mani. Ia tidak menjejaskan keupayaan seksual lelaki tetapi biasanya kekal dan sukar untuk dipulihkan.
Cadangan Dedi menetapkan bahawa lelaki yang bersedia menjalani vasektomi akan menerima insentif sebanyak Rp500,000 (RM130).
Lebih kontroversial, bantuan lain seperti subsidi makanan, perubatan, biasiswa dan perumahan turut akan bergantung kepada kesanggupan mereka menjalani prosedur tersebut.
“Saya ingin lelaki lebih bertanggungjawab dalam hal perancangan keluarga, bukan hanya menyandarkan kepada wanita,” tegasnya.
Baca juga: Lebih 11,000 Kanak-Kanak Dijangkiti, Kes HFMD Di Johor Makin Serius & Meresahkan!
Respon dari para pemimpin

Sekadar gambar hiasan.
Menteri Sosial Indonesia, Saifullah Yusuf, memberi amaran bahawa sebarang bentuk bantuan tidak boleh dikaitkan secara sewenang-wenangnya dengan syarat perubatan yang menyentuh tubuh individu.
“Kalau sudah menyentuh hak tubuh badan dan kesihatan, perlu dinilai dari pelbagai sudut. Ini bukan isu mudah,” katanya.
Menteri Penyelaras Bidang Pemberdayaan Masyarakat, Muhaimin Iskandar, pula menegaskan bahawa syarat seperti itu bertentangan dengan peraturan sedia ada.
“Tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan negeri menetapkan syarat seperti itu untuk bantuan sosial,” katanya.
Majlis Ulama Indonesia (MUI) Jawa Barat menyifatkan vasektomi sebagai haram dari sudut hukum Islam jika dilakukan secara kekal tanpa keperluan perubatan yang mendesak.
“Prosedur pemandulan kekal seperti vasektomi tidak dibenarkan kecuali dalam keadaan darurat kesihatan. Ia bukan soal wang, tetapi soal hukum,” ujar Pengerusinya, KH Rahmat Syafei.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Indonesia (Komnas HAM) menyelar cadangan itu kerana dianggap mencabuli hak tubuh individu serta meletakkan tekanan kepada golongan miskin.
“Badan manusia ialah hak mutlak individu. Mengaitkan bantuan dengan prosedur perubatan adalah satu bentuk paksaan halus,” kata pengerusinya, Atnike Nova Sigiro.
Baca juga: Guru, Pelajar & Usahawan Wajib Tahu! 14 AI Slide Pembentangan Jimat Masa & Cantik
Jawapan timbal balik dari Dedi Mulyadi
Menjawab kritikan bertali arus, Dedi Mulyadi menegaskan bahawa cadangan tersebut bukanlah bentuk paksaan, sebaliknya hanya satu galakan dengan insentif yang bersifat sukarela.
“Saya cuma mengajak, bukan memaksa. Jika tidak mahu, tiada paksaan. Tapi kita harus berfikir panjang soal masa depan keluarga miskin,” jelasnya.
Dalam tinjauan pendapat awam yang dijalankan oleh media tempatan, majoriti rakyat Indonesia menyifatkan cadangan itu sebagai tidak berperikemanusiaan, menghina golongan miskin dan tidak sesuai dilaksanakan di negara berbilang budaya dan agama seperti Indonesia.
Rata-rata netizen juga menuduh Dedi menggunakan isu sensitif itu sebagai ‘modal politik murahan’ menjelang pilihan raya akan datang. -Agensi
Baca juga: “Tolong Doakan Adeeb” Remaja 14 Tahun Ditidurkan Di ICU, Selepas Dikejar Anjing Liar!
Sumber: Sinar Harian
FT Image: AI / rawpixel.com
