Ramai antara kita menganggap makanan terproses (processed food) hanya merujuk kepada makanan segera yang jelas-jelas tidak sihat seperti sosej atau jajan di kedai runcit.
Realitinya, banyak makanan harian tergolong dalam kategori makanan terproses malah lebih berbahaya kerana kita tidak menyedarinya.
Baca juga: Berhenti Guna Anak Obesiti Sebagai Konten Media Sosial, Tak Comel & Kena Ambil Serius
MAKANAN TERPROSES INI ‘MENYAMAR’ JADI MAKANAN SIHAT TAPI TAK
Lebih menakutkan, makanan-makanan ini sering dipilih untuk anak-anak kerana mudah, cepat, dan kelihatan seperti pilihan sihat.
Berikut antara makanan harian yang nampak ‘baik’, tetapi sebenarnya merupakan makanan proses yang perlu kita waspadai.
1. Roti putih

Freepik
Roti putih sering dianggap makanan ruji yang selamat tetapi ramai tak tahu ia dibuat daripada tepung gandum yang telah diproses secara halus di mana hampir semua serat, vitamin dan mineral telah dibuang.
Kesan jangka panjang boleh menyebabkan anda cepat lapar semula, mendorong pengambilan makanan berlebihan dan meningkatkan risiko obesiti serta diabetes.
2. Bijirin
Kebanyakan bijirin sarapan yang dijual di pasar raya terutamanya yang berwarna-warni atau bergambar kartun dipasarkan sebagai ‘sihat’ dan ‘sesuai untuk anak-anak’.
Namun jika kita semak labelnya, kandungan gula sangat tinggi, kadang-kadang melebihi daripada biskut manis. Ini akan membuatkan kanak-kanak cepat lapar dan mungkin mengalami perubahan tingkah laku akibat lonjakan gula darah.
3. Yogurt berperisa
Yogurt memang boleh jadi makanan yang menyihatkan jika ia dalam bentuk asli (plain yogurt). Sekiranya berperisa seperti dijual di pasar raya, selalunya telah dicampur dengan sejumlah besar gula untuk menggantikan rasa lemak yang dibuang.
Jadi, yogurt mengandungi lebih banyak gula daripada satu tin minuman soda. Walaupun kelihatan sihat, ia sebenarnya menyumbang kepada pengambilan gula tersembunyi.
4. Energy bar dan granola bar

Freepik
Energy bar sering dianggap makanan ‘fit’ atau sesuai untuk orang aktif namun masih ramai tak sedar, banyak jenama energy bar atau granola bar mengandungi sirap glukosa, gula, coklat dan bahan tambahan lain.
Malah, ada yang tinggi kalori tetapi tidak memberi rasa kenyang sebenar. Ini menjadikannya pilihan yang mengecewakan untuk sesiapa yang cuba menjaga diet.
5. Jus buah dalam kotak atau botol
Hakikatnya, kebanyakan jus yang dijual di rak kedai bukan diperah segar, tetapi dihasilkan daripada pati buah, air, dan gula tambahan.
Jus ini hampir tiada serat seperti buah sebenar kerana apa yang anda minum sebenarnya adalah air bergula yang ‘menyamar’ sebagai minuman sihat. Bagi kanak-kanak, ia sangat berisiko untuk menyebabkan obesiti awal.
6. Sosej, nugget dan bebola daging/ikan
Makanan ini popular sebagai makanan segera di rumah kerana anda hanya perlu goreng atau masuk ke dalam air panas, siap! Namun proses penghasilannya menggunakan daging kisar yang dikisar halus, dicampur tepung, garam, MSG, pengawet, pewarna dan perisa tiruan.
Ini menjadikannya tergolong dalam kategori ultra-processed food yang sudah terbukti melalui pelbagai kajian boleh meningkatkan risiko penyakit kronik seperti darah tinggi, sakit jantung dan barah.
7. Keju proses
Keju proses bukanlah keju sebenar, ia adalah hasil campuran susu, minyak sayuran, bahan emulsi dan bahan kimia kemudian dibentuk menjadi kepingan nipis. Walaupun mudah digunakan dalam masakan, ia sebenarnya tinggi lemak tidak sihat dan garam.
8. Mee segera dan pasta segera
Mee segera mungkin juara dalam kategori makanan proses. Ia mengandungi kandungan garam dan MSG yang sangat tinggi, selain digoreng menggunakan minyak sawit untuk tahan lama. Walaupun dimasak dalam beberapa minit, ia tidak memberi nutrien sebenar kepada badan.
Bila diambil terlalu kerap, ia boleh mengganggu kesihatan sistem penghadaman, buah pinggang, dan menyumbang kepada tekanan darah tinggi.
9. Sup segera dan kiub pati masakan
Sup segera dan kiub perisa sangat mudah digunakan dalam masakan harian. Namun, kandungan natrium (sodium) di dalamnya tinggi yang boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan beban kepada buah pinggang.
Lebih membimbangkan, ia juga mengandungi perisa tiruan dan kadang-kadang pewarna, untuk ‘meniru’ rasa masakan sebenar.
10. Minuman isotonik
Minuman ini dipasarkan sebagai pilihan sihat, kononnya membantu menggantikan elektrolit selepas bersenam. Realitinya, kebanyakan produk ini mengandungi gula yang sangat tinggi, hampir setanding dengan minuman berkarbonat.
Makanan terproses sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup moden kerana mudah, cepat dan murah. Namun, anda pasti mampu mengubahnya untuk kehidupan lebih sihat.
Baca juga: Suka Marah & ‘Bitter’ Tak Kena Tempat, Rupanya Sebab Tak Kenal Perangai Sendiri Lagi!
Sumber: Facebook
