Euforia Bola 2026
Nur

Hukum Makan Masakan Orang Tak Solat Atau Tidak Tutup Aurat? Ini Penjelasannya!

tak solat

Isu orang tak solat atau tidak menutup aurat tetapi memasak makanan, sering menimbulkan kegusaran dalam masyarakat Islam. Ramai tertanya-tanya sama ada makanan tersebut menjadi tidak berkat, berdosa dimakan atau sekadar isu keutamaan dalam memilih tempat makan.

Baca juga: Pegang Tubuh Yang Sakit & Bacalah Doa Ruqyah Untuk Diri Sendiri Ini, Semoga Peroleh Kesembuhan!

HUKUM MAKAN MASAKAN ORANG TAK SOLAT ATAU TUTUP AURAT

tak solat

Gambar hiasan: fxquadro

Masakan orang tak solat

Dalam satu penjelasan oleh Ustaz Azhar Idrus, beliau menyatakan bahawa jika seseorang itu mengetahui pemilik kedai atau tukang masak tidak menunaikan solat, maka hukum makan di kedai tersebut adalah makruh, bukan haram.

Makanan itu tetap halal selagi bahan dan cara penyediaannya menepati syarak, namun aspek keberkatan mungkin terjejas. Tujuan mengelak adalah untuk mencari barakah dalam hidup, bukan menghukum individu.

“Makruh. Kita tahu kedai ini tidak solat, makruh kita pergi makan roti canai di kedainya. Makanlah di kedai-kedai orang yang takut kepada Allah SWT supaya berkata daripada tuan kedai turun ke makanan. Dari makanan masuk ke mulut, mulut pula jatuh ke perut.

“Hal ini kerana, kita inginkan keberkatan kerana dalam hidup kita penuh dengan kemaksiatan. Jadi, kita perlu lebih banyak barakah,” jelasnya di dalam video ceramah beliau, selepas diajukan soalan berkenaan hukum makan masakan orang yang tidak solat.

Baca juga: “Jauh Menyimpang Dah Ni,” PU Amin Luah Kebimbangan Trend Minta ‘Gift’ Sambil Ngaji Di Media Sosial

Dalam masa yang sama, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa terdapat dua perkara utama perlu diperhatikan.

Pertama, makanan mestilah berasal daripada sumber yang halal dan baik. Sesuai dengan perintah Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 168: “Wahai sekalian manusia, makanlah kamu daripada (hasil) yang terdapat di atas muka bumi (makanan) yang halal lagi baik.”

Imam al-Thabari Rahimahullah apabila menafsirkan ayat ini beliau berkata: “Wahai sekalian manusia, makanlah kamu semua daripada makanan-makanan yang telah AKU halalkan buat kamu melalui lisan rasul-KU Muhammad dan (juga makanan) yang telah aku anggap baik buat kamu.”

Di mana, beliau turut menyatakan definisi thayyib (baik) dengan katanya: “Iaitu (makanan) yang suci dan bersih dari najis dan keharaman”. Lihat Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir al-Thabari (3/300).

Justeru, dapat difahami bahawa menjadi satu kewajipan ke atas seorang muslim itu untuk memakan makanan yang halal lagi baik sepanjang kehidupannya di atas muka bumi.

Masakan pelaku maksiat

Perkara kedua ialah hukum bermuamalat dengan penjual yang melakukan maksiat.

Menurut Mufti, syarak tidak meletakkan syarat untuk menilai peribadi tukang masak sebagai penentu sah atau tidak makanan tersebut. Selagi bahan dan prosesnya halal, maka makanan itu dibenarkan untuk dimakan.

Ini termasuk makanan yang disediakan oleh bukan Islam, selain daripada perkara yang berkaitan dengan sembelihan.

Imam Qatadah berkata: “Tidak mengapa (tiada masalah) untuk memakan makanan orang Majusi selain daripada sembelihannya,” Riwayat Abd al-Razzaq di dalam Musannaf (10155).

Begitu juga yang disebutkan oleh al-Imam al-Qurtubi Rahimahullah di dalam tafsirnya: Telah berkata Abu Umar: dan tidak mengapa dengan memakan makanan  golongan penyembah berhala, orang Majusi dan sekalian yang tiada kitab (bukan ahli kitab) dari kalangan kuffar selama mana ia (makanan) bukan dari sembelihan mereka. Lihat Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, Al-Qurthubi (6/77).

Ini menunjukkan bahawa memakan makanan yang disediakan oleh orang bukan Islam pun adalah dibolehkan. Prinsip yang sama terpakai kepada makanan yang disediakan oleh golongan fasiq, iaitu mereka yang melakukan maksiat.

PERBEZAAN HALAL & BARAKAH

tak solat

Gambar hiasan: Art_Photo studio

Namun, perbezaan penting yang perlu difahami ialah antara halal dan barakah.

  1. Halal merujuk kepada hukum fiqh.
  2. Barakah adalah nilai spiritual yang lahir daripada ketakwaan, doa dan amal soleh.

Justeru, makanan yang dimasak oleh orang yang menjaga solat dan akhlaknya, lebih diharapkan membawa keberkatan dalam kehidupan seharian.

Sebagai penutup, makan makanan yang dimasak oleh orang yang tidak solat atau tidak menutup aurat adalah dibolehkan dan tidak haram jika syarat halal dipenuhi.

Namun, bagi mereka yang mahu menjaga tahap warak, memilih makanan daripada orang yang lebih bertakwa adalah digalakkan tanpa menyalahkan atau merendahkan orang lain.

Baca juga: Jangan Panik Bila Tiada Air Di Mina, Ini 10 Tips ‘Survival’ Isu Tandas & Taharah Buat Bakal Haji

Sumber: YouTube Ustaz Azhar Idrus Official / Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

FT Image: Freepik

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×