Majlis akad nikah kebiasaannya berlangsung di masjid, surau, dewan atau kediaman keluarga. Namun, kisah yang berlaku di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) baru-baru ini membuktikan bahawa penyatuan cinta tetap boleh diteruskan walaupun dalam suasana yang tidak biasa.
Pada 5 September 2025, seorang pesakit bernama Che Muhammad Rifqi Danial bin Che Alias, 25 tahun, yang sedang menerima rawatan di Wad 6C Ortopedik akibat kemalangan jalan raya, telah selamat diijabkabulkan dengan pilihan hatinya, Nur Sufia Amalin binti Che Ramli, 26 tahun.
MAJLIS AKAD NIKAH DI HOSPITAL

Gambar oleh Hospital Sultan Ismail Petra
Menurut pihak Hospital Sultan Ismail Petra, keluarga pasangan berkenaan telah lama merancang majlis tersebut. Walaupun pengantin lelaki berada dalam keadaan kurang sihat, kedua-dua keluarga sepakat untuk meneruskan akad nikah yang menjadi detik penting dalam kehidupan mereka.
HSIP melalui Inisiatif Hospital Mesra Ibadah (HMI) menyambut baik permintaan itu dengan menyediakan ruang khas untuk pasangan pengantin melafazkan akad.
Usaha ini turut disokong oleh pihak pengurusan hospital, Jabatan Ortopedik, pasukan kejururawatan, Jawatankuasa HMI, Unit Komunikasi Korporat, Unit Keselamatan serta Radicare HSIP yang sama-sama berganding bahu menjayakan majlis.
Walaupun sederhana, majlis itu tetap meriah dengan kehadiran ahli keluarga yang membawa doa restu.
Senyuman pengantin perempuan, Nur Sufia, ketika bergandingan dengan suami tercinta yang masih dalam rawatan, cukup membuat suasana terasa syahdu dan menyentuh hati. Rifqi yang berkerusi roda ketika itu tetap kelihatan tenang dan gembira menerima lafaz akad yang menjadi tanda ikatan sah mereka berdua.
Baca juga: Bantu Aya Sofya 4 Tahun, Bergelut Kanser Saraf Perlu Sumbangan Rawatan Ke China Ahad Ini!
Lebih menyentuh hati, ibu kepada pengantin, Puan Zaimah Mat Saman, turut menitipkan ucapan penuh syukur di ruangan komen:
“Berbanyak terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh HSIP. Pengarah, Pen. Pengarah, doktor pakar dan doktor di wad 6C dan 6D, Matron Ruzaini, nurses, pengawal keselamatan dan kakitangan Redicare yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam majlis anak saya. Budi tuan puan semua sangat saya hargai. Anda semua memang awesome. TERIMA KASIH SEKALI LAGI,” tulisnya.
Selain itu, kedua-dua pasangan mempelai ini turut menerima berduyun-duyun ucapan doa dan tahniah daripada orang ramai.
Gambar kenangan majlis turut dirakam dengan kebenaran keluarga pengantin untuk dikongsi oleh pihak hospital, menjadikan detik bersejarah ini lebih bermakna dan penuh nilai kasih sayang.
Sumber: Hospital Sultan Ismail Petra
FT Image: Hospital Sultan Ismail Petra
