Ramai pelajar sekolah menengah di Malaysia terutama di kawasan luar bandar bergantung kepada motosikal untuk hadir ke sekolah setiap hari. Namun, masih ada dalam kalangan mereka yang menunggang tanpa lesen motosikal sah kerana kekangan kewangan dan akses kepada latihan memandu.
60,000 PELAJAR B40 BAKAL DAPAT LESEN MOTOSIKAL PERCUMA

Foto: Sinar Harian
Prihatin dengan situasi tersebut, kerajaan kini tampil dengan satu inisiatif baharu menerusi Program MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) Tahun 2026 yang bakal memberi manfaat besar kepada pelajar daripada keluarga B40.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan seramai 60,000 pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 daripada golongan B40 akan menerima lesen motosikal B2 secara percuma tahun ini.
Program tersebut melibatkan peruntukan melebihi RM18.5 juta dan dilaksanakan bagi membantu pelajar mendapatkan Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang sah tanpa perlu menanggung kos latihan dan ujian memandu.
Menurut beliau, inisiatif itu diperkenalkan selepas kerajaan melihat masih ramai pelajar sekolah menunggang motosikal tanpa lesen sah, sekali gus mengundang risiko keselamatan di jalan raya.
Kurangkan Risiko Kemalangan Jalan Raya

Foto: Gemini AI
Anthony Loke berkata, isu pelajar menunggang motosikal tanpa lesen bukan sahaja melanggar undang-undang, malah membahayakan nyawa kerana mereka tidak mempunyai latihan dan kemahiran menunggang yang betul.
Katanya lagi, program itu memberi fokus kepada:
- Penyediaan akses lesen memandu sah kepada pelajar
- Meningkatkan kompetensi dan kemahiran menunggang
- Memupuk kesedaran keselamatan jalan raya
- Menggalakkan pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan generasi muda
Beliau turut mendedahkan bahawa lebih 6,000 kemalangan maut direkodkan setiap tahun di Malaysia dan sebanyak 65 peratus daripadanya melibatkan penunggang serta pembonceng motosikal.
Lebih membimbangkan, kebanyakan kes maut tersebut melibatkan golongan muda berusia antara 16 hingga 25 tahun termasuk pelajar sekolah.
Sambungan Program MyLesen B2
Sebelum ini, Program MyLesen B2 yang diperkenalkan sejak tahun 2023 telah memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 peserta dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM10.5 juta.
Pelaksanaan MyB2S dilihat sebagai kesinambungan kepada usaha kerajaan untuk memperluaskan akses pelesenan memandu kepada golongan muda, khususnya pelajar sekolah daripada keluarga berpendapatan rendah.
Dalam majlis pelancaran program itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut menyambut baik kerjasama strategik antara Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pendidikan.
Menurut beliau, pendekatan latihan secara berkelompok bukan sahaja lebih tersusun dan efisien, malah memudahkan pelajar mendapatkan lesen memandu secara sah sebelum tamat persekolahan.
Inisiatif seperti ini diharap dapat membantu mengurangkan jumlah penunggang tanpa lesen di jalan raya selain meningkatkan tahap keselamatan dalam kalangan pelajar sekolah di seluruh negara.
Sumber: Harian Metro
FT Images: Sinar Harian dan Gemini AI
