Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan bahawa pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 selama 10 tahun dan ke atas akan layak menyertai program peralihan khas untuk mendapatkan lesen kelas B penuh, bermula 1 Oktober depan.
Baca juga: 4 Kawasan Di Semenanjung Catat Cuaca Panas Tahap Berjaga-Jaga
LESEN KELAS B PENUH KOS YURAN SEBANYAK RM160

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa masih ada beberapa syarat perlu dipenuhi antaranya adalah menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian ke kenderaan motosikal berkuasa 500cc ke atas di institut memandu (IM) dengan kos yuran sebanyak RM160 berbanding RM900 sebelum ini.
Tambah beliau lagi, pemohon perlu menjalani program amali penunggangan, informasi pemanduan selamat dan informasi pengoperasian motosikal berkuasa besar selama dua jam sahaja.
Melalui program amali tersebut, pemohon mesti mendapatkan pengesahan tahap keupayaan mengendalikan motosikal berkuasa besar oleh ‘Qualified Training Officer’ (QTO) di IM.
“Pengesahan ini amat penting bagi memastikan tahap kompetensi dan keupayaan seseorang itu untuk mengendalikan motosikal berkuasa besar, demi meningkatkan tahap keselamatan pemanduan individu terbabit,” jelasnya.
Pemohon juga perlu memiliki LLM kelas B1 atau B2 secara aktif berterusan minimum 10 tahun bertujuan memastikan tahap kompetensi serta pengalaman pemanduan kenderaan motosikal bagi mana-mana individu sebelum beralih kepada motosikal berkuasa besar.
Syarat lain adalah pemohon hendaklah bebas daripada sebarang senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat, atau apa-apa perkara yang belum selesai bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Pengesahan sihat sihat tubuh badan, fizikal dan minda secara deklarasi kendiri juga perlu dilakukan.
Kementerian memutuskan untuk menggabungkan LLM kelas B1 dengan B selepas permintaan mendapatkan LMM kelas B1 terlalu rendah. Hal ini kerana setiap tahun orang ramai akan terus memilih mendapatkan lesen kelas B sahaja.
Jadi, bermula 1 Oktober ini, tiada lagi program mendapatkan LMM kelas B1 di IM akan dibuka kepada orang ramai.
“Dengan mendapatkan LMM motosikal kelas B, individu layak memandu semua kuasa (cc) motosikal dan tidak terhad kepada motosikal berkuasa 499cc ke bawah sahaja bagi kelas B1,” jelasnya.
Bagi pemegang lesen B1 sedia ada, mereka akan kekal di kategori berkenaan atau boleh menjalani program khas di atas bagi mendapatkan kelas B.
Baca juga: Permohonan MyKid Dibuka Semula Bermula 29 Julai (Isnin) Ini
Sumber: Buletin TV3
