Berat mata memandang, namun lebih berat lagi beban yang ditanggung keluarga mangsa. Semalam, suasana di Jambatan Pulau Pinang kecoh seketika apabila seorang lelaki dipercayai terjun ke laut, menyebabkan lalu lintas menjadi perlahan.
Di lokasi kejadian, motosikalnya ditemui ditinggalkan di tepi jambatan bersama bungkusan pakaian dalam plastik jernih, yang menimbulkan pelbagai persoalan warganet. Sangat merisaukan…
Baca juga: ‘Senyuman Menyeramkan’ Dalam Masjid, Pesakit Skizofrenia Tunjuk POV Bagaimana Halusinasi Berlaku
Suami Dikatakan Lompat Jambatan Pulau Pinang : Isteri Hamil 5 Bulan Zuriat Ketiga, “Tolong komen yang baik-baik…”

Sehingga kini, nasib lelaki tersebut masih belum diketahui sama ada selamat atau sebaliknya. Dalam keadaan penuh cemas, isterinya Ailah, tampil merayu orang ramai agar menghormati perasaan keluarga yang kini menunggu berita dengan hati yang sangat gelisah.
Di TikTok, Ailah memuat naik doa dan harapan agar suaminya ditemui dalam keadaan baik.
“Orang percaya Sayang ada… Sayang kuatlah, anak-anak tunggu Sayang,” tulisnya dalam satu hantaran.
Lebih menyentuh hati, Ailah turut berkongsi foto keluarga mereka mengenakan baju raya sedondon, gambar yang kini menjadi simbol kebahagiaan kecil sebelum tragedi menimpa. Tak ramai sangka, di sebalik senyuman dalam foto itu, Ailah sebenarnya sedang hamil anak ketiga berusia lima bulan, sementara anak bongsu mereka baru tujuh bulan.
Bungkusan pakaian basah dan wangi, keluarga jelaskan situasi sebenar

Tular juga persoalan dalam kalangan netizen tentang mengapa suaminya membawa bungkusan pakaian ke jambatan. Menurut keluarga, lelaki itu sebenarnya baru mengambil pakaian dari kedai dobi. Ketika mereka memeriksa bungkusan berkenaan, pakaian tersebut masih basah dan wangi, menunjukkan dia baru sahaja selesai menguruskan rutin harian, bukan seperti yang dispekulasikan sesetengah pihak.
“Kita tak duduk tempat dia, tak tahu apa yang dia tengah rasa,” tulis netizen di ruangan komen.
Ailah dalam hantaran terbaharu sekali lagi memohon agar netizen tidak membuat andaian atau menyebarkan spekulasi. Dalam keadaan sarat hamil dan menjaga dua anak kecil, dia kini menanggung tekanan emosi yang sangat berat.
“Saya sebagai isteri, hidup sebantal sebumbung pun saya tak tahu apa yang dia rasa. Tolong jaga hati, perasaan & mental saya,” luahnya.
Ailah kini hanya menunggu perkembangan rasmi daripada pihak berkuasa sambil terus berdoa agar suaminya ditemui dengan selamat. Marilah sama-sama kita berdoa agar semuanya baik-baik sahaja, bukan membuat spekulasi tentang kejadian menyayat hati ini.
Sumber: Tiktok @mummylee_, erol.gombak
