Lapangan terbang merupakan lokasi penting bagi pendaratan pesawat, namun tidak semua lapangan terbang sama tahap risikonya. Terdapat beberapa lapangan terbang paling bahaya disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu, bentuk muka bumi ekstrem, serta ketiadaan sistem sokongan moden untuk membantu juruterbang mendarat dengan selamat.
Baca juga: Meremang Bulu Roma Bila Lalu 10 Jalan Ini Di Malaysia, Kalau Tak Kental Jangan ‘Drive’ Seorang
LAPANGAN TERBANG PALING BAHAYA DI DUNIA, PILOT PUN GERUN
Berikut disenaraikan lima lapangan terbang paling bahaya dan mencabar di dunia yang sering membuatkan juruterbang ‘berdebar’ ketika mendarat.
5. Madeira Airport, Portugal

Kredit: SKytrax
Lapangan terbang Madeira, yang turut dikenali sebagai Cristiano Ronaldo Airport, terletak di Pulau Madeira, Portugal. Pada peringkat awal pembinaannya, lapangan terbang ini memiliki landasan yang pendek sebelum ia dipanjangkan menggunakan struktur konkrit bertiang, menjadikannya seolah-olah sebuah jambatan panjang di atas laut.
Walaupun penambahbaikan telah dibuat, cabaran utama di lapangan terbang ini adalah angin lintang yang kuat disebabkan kedudukannya berhampiran pantai. Keadaan angin yang tidak menentu memaksa juruterbang melakukan pelarasan berterusan bagi memastikan pesawat tidak tersasar ketika mendarat.
4. Paro Airport, Bhutan

Kredit: CNN
Paro Airport merupakan antara lapangan terbang paling eksklusif di dunia kerana hanya juruterbang terlatih dan bertauliah khas dibenarkan mendarat di sini.
Terletak di tengah-tengah kawasan pergunungan yang tinggi, laluan masuk ke lapangan terbang ini memerlukan pesawat melakukan pusingan dan pergerakan zigzag bagi mengelakkan perlanggaran dengan gunung.
3. Princess Juliana Airport, Caribbean

Kredit: Visit St. Maarten / St. Martin
Princess Juliana Airport terkenal di seluruh dunia kerana lokasinya yang amat hampir dengan kawasan pantai. Pemandangan pesawat terbang rendah betul-betul di atas kepala pengunjung sebelum mendarat pernah tular dan menjadi tarikan pelancong.
Terdapat laporan insiden maut akibat tekanan angin enjin pesawat yang kuat. Dari sudut juruterbang pula, cabaran utama adalah landasan pendek di mana ia memerlukan pendaratan tepat bagi mengelakkan risiko terbabas.
2. Courchevel Airport, Perancis

Kredit: Wikipedia
Courchevel Airport di Perancis terkenal dengan landasan tidak rata dan berbentuk cerun seperti roller coaster. Landasan yang menurun dan mendaki ini meningkatkan risiko pesawat tergelincir, terutamanya ketika cuaca sejuk dan bersalji.
Lebih mencabar, lapangan terbang ini tidak dilengkapi dengan sistem Instrument Landing System (ILS), iaitu sistem bantuan pendaratan yang lazim digunakan di kebanyakan lapangan terbang utama. Ketiadaan ILS memaksa juruterbang bergantung sepenuhnya kepada kemahiran visual dan pengalaman mereka.
1. Lukla Airport, Nepal

Kredit: Eugene Kaspersky’s – Kaspersky
Lukla Airport di Nepal menduduki tangga pertama sebagai lapangan terbang paling berbahaya di dunia. Terletak di kaki Banjaran Himalaya, lapangan terbang ini merupakan pintu masuk utama bagi pendaki Gunung Everest.
Landasannya hanya sepanjang kira-kira 500 meter dengan hujung landasan berakhir di gaung curam. Selain itu, perubahan cuaca yang mendadak seperti kabus tebal, hujan dan angin kencang sering menyebabkan penerbangan tertangguh atau dibatalkan.
Lima lapangan terbang disenaraikan ini membuktikan bahawa tahap risiko mendarat bukan sahaja bergantung kepada pesawat, tetapi juga kepada faktor semula jadi dan reka bentuk landasan.
Baca juga: Nurul Nazla Ditemui Dalam Keadaan Selamat, Kembali Ke Pangkuan Suami Di Wad Hospital Shah Alam
Sumber: TikTok ML Studios MY
