Euforia Bola 2026
Didik

KPM Perkenal Kaedah ‘Co-Teaching’ Mulai 2027, Dua Guru Ajar Dalam Satu Kelas Supaya Lebih Kreatif

Kurikulum Persekolahan 2027

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal memperkenalkan pendekatan baharu dalam dunia pendidikan negara menerusi Kurikulum Persekolahan 2027, dengan memperkenalkan kaedah pengajaran berpasukan atau co-teaching, iaitu dua guru mengajar dalam satu kelas secara serentak.

Langkah ini dilihat mampu meningkatkan keberkesanan pembelajaran, menjadikan sesi di bilik darjah lebih menyeronokkan dan interaktif, selain membantu pelajar memberi tumpuan dengan lebih baik.

Baca juga: “Cikgu Pun Ada Hati”- Kertas Peperiksaan English Pelajar Dapat Markah 0%, Cikgu Menangis Di Luar Kelas

Kurikulum Persekolahan 2027: Dua Guru, Satu Kelas Beri Ruang Guru Berkreativiti

Kurikulum Persekolahan 2027

Foto: BH

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menjelaskan bahawa kaedah ‘co-teaching’ memberi ruang kepada guru untuk berkreativiti dan saling melengkapi dalam merancang serta menyampaikan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Dalam kaedah ini, dua guru bekerjasama sepenuhnya dalam satu kelas, bukannya guru dan pembantu pengajar. Gabungan dua tenaga pendidik akan menjadikan suasana PdP lebih menarik dan berkesan,” katanya.

Pendekatan ini turut disokong dengan pelaksanaan uji rintis kepada 130 guru, dan hasilnya menunjukkan maklum balas positif terhadap pembaharuan yang dirancang.

Kaedah ‘co-teaching’ akan digunakan untuk mata pelajaran baharu ‘Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu’ di Tahap I. Subjek ini menggabungkan pelbagai disiplin ilmu Sains, Bahasa, dan Sosial supaya pelajar dapat belajar secara holistik.

Fadhlina menjelaskan, berbeza dengan kurikulum lama yang menumpukan nilai hanya dalam subjek Pendidikan Islam atau Moral, kurikulum baharu ini menekankan pembentukan karakter dalam semua mata pelajaran.

“Guru Matematik, Sains, atau Bahasa Inggeris juga akan menerapkan nilai murni dan adab dalam pengajaran mereka. Ini penting untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja bijak, tetapi juga berakhlak dan berdisiplin,” katanya.

Program Pembentukan Karakter: 60 Minit Seminggu

Kurikulum Persekolahan 2027

Foto: Utusan Malaysia

KPM turut memperkenalkan Program Pembentukan Karakter yang akan diperuntukkan selama 60 minit seminggu dalam jadual waktu persekolahan. Tujuannya ialah memberi ruang kepada pelajar untuk menghayati nilai positif, membentuk tingkah laku baik, serta mengamalkan adab dan akhlak dalam kehidupan seharian.

Fadhlina menegaskan bahawa pembaharuan Kurikulum 2027 tidak mengubah teras pendidikan negara, sebaliknya memperkukuh pendekatan agar selari dengan perubahan zaman.

“Sebagai contoh, pelajar kini boleh belajar Sains, Bahasa Inggeris dan Muzik dalam satu sesi bersepadu. Ia bukan sahaja menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, malah membantu mengurangkan masalah pelajar hilang fokus dalam kelas padat,” jelasnya.

Beliau turut yakin, pendekatan dua guru dalam satu kelas akan membantu menangani isu keciciran pelajar serta memastikan setiap murid mendapat perhatian sewajarnya.

Menurut Fadhlina, latihan peningkatan profesionalisme guru (penataran) bagi sesi akademik 2025/2026 sudah pun bermula, sebagai persediaan sebelum Kurikulum Persekolahan 2027 dilaksanakan.

“Malah, ramai guru teruja mencuba pendekatan baharu ini kerana ia memberi pengalaman berbeza dan peluang untuk berinovasi dalam PdP,” katanya.

Selain itu, KPM turut memperkenalkan pembentukan karakter pelajar bermula dari peringkat prasekolah pada tahun depan, sebelum diperluas kepada Tahun Satu dan Tingkatan Satu pada 2027.

Langkah ini bukan sahaja memupuk nilai murni sejak usia awal, tetapi juga menggalakkan penglibatan aktif ibu bapa dan komuniti dalam pendidikan anak-anak.

“Murid prasekolah mudah dibentuk kerana mereka belajar melalui pemerhatian dan peniruan. Jadi, ibu bapa dan guru perlu berganding bahu dalam membentuk karakter anak-anak,” ujar Fadhlina.

Kurikulum Persekolahan 2027 dijangka menjadi titik perubahan besar dalam sistem pendidikan Malaysia. Dengan pendekatan ‘co-teaching’ dan penekanan terhadap nilai serta karakter, KPM yakin ia mampu melahirkan generasi pelajar yang seimbang, cemerlang akademik, tinggi moral dan kukuh jati diri. Bersediakah anak-anak semua?

Baca juga: Sekolah Hebat, Anak Cemerlang! Ini Top 8 Sekolah Rendah Terbaik Malaysia Untuk Permulaan Tahun 1

Sumber: Berita Harian, (Foto) Cikgu Hailmi, Utusan Malaysia

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×