“Semenjak dah mula berpuasa ni kulit kering semacam je. Nanti nak sambut raya tak cantik dah..macam mana nak buat?”
Berpuasa sepanjang bulan Ramadan boleh memberi kesan kepada kesihatan kulit, terutamanya dari segi penghidratan, kerana badan tidak menerima air di waktu siang. Jadi, Sirap Limau menemubual secara eksklusif Dr. Rani Manohari Kuppusamy, Pakar Perunding Dermatologi Pusat Perubatan Prince Court untuk mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana cara jaga kulit ketika berpuasa.
Baca lagi: Riuh Dengan Trend ‘Old Money’, Ini Perbezaan & Ciri-Ciri Antara Old Money & New Money, Baru Tahu!
KULIT KERING SECARA MENGEJUT KETIKA BERPUASA, PAKAR KONGSI APA ANDA KENA BUAT

Foto hiasan.
Dari perspektif seorang doktor kulit, berikut adalah kesan yang akan berlaku:
1. Kulit Kering & Kusam: Kekurangan air boleh menyebabkan kulit kehilangan kelembapan semula jadi, menjadikannya kering, kasar, dan kurang berseri.
2. Pengeluaran Minyak Berlebihan: Kulit yang terlalu kering boleh mencetuskan kelenjar minyak untuk menghasilkan lebih banyak sebum, yang boleh menyumbang kepada masalah jerawat.
3. Kedutan & Garis Halus: Kekurangan hidrasi boleh menjadikan garis halus dan kedutan lebih ketara kerana kulit kehilangan keanjalan.
Jadi menurut Dr. Rani, terdapat beberapa cara yang anda boleh lakukan bagi memastikan kulit sentiasa terhidrat ketika berpuasa.
1. Minum Air Secukupnya
Pastikan minum sekurang-kurangnya 8 gelas air antara waktu berbuka dan sahur untuk mengimbangi kehilangan cecair sepanjang hari iaitu 4 gelas air kosong semasa berbuka dan 4 gelas lagi semasa bersahur.
2. Makan Makanan Kaya Air
Berikut merupakan senarai makanan yang boleh dimasukkan dalam menu seharian:
– Tembikai (92% air) – Memberikan kesegaran dan membantu mengelakkan dehidrasi.
– Oren (86% air) – Kaya dengan vitamin C yang baik untuk kulit dan sistem imun.
– Strawberi (91% air) – Mengandungi antioksidan yang membantu melindungi kulit daripada kekeringan.
– Timun (96% air) – Sangat tinggi kandungan air dan membantu mengekalkan kelembapan badan
– Yogurt Greek – Mengandungi probiotik yang baik untuk penghadaman dan kelembapan kulit.
– Tomato (94% air) – Kaya dengan lycopene, yang baik untuk kesihatan kulit.
– Saderi (Celery) (95% air) – Rendah kalori dan membantu mengekalkan keseimbangan elektrolit dalam badan.
– Betik (88% air) – Membantu pencernaan dan mengelakkan masalah perut kembung.
– Anggur (81% air) – Mengandungi antioksidan dan membantu menyejukkan badan.
3. Gunakan Pelembap Muka
Sapukan pelembap selepas mencuci muka untuk mengunci kelembapan kulit. Pilih pelembap berasaskan air atau yang mengandungi hyaluronic acid atau glycerin.
4. Elakkan Kafein & Makanan Masin
Kafein dan makanan tinggi garam boleh meningkatkan dehidrasi badan dan kulit. Pastikan kalau ambil juga dua jenis makanan ini, tambah dengan minum air kosong 2 gelas ekstra atau air kelapa.
5. Gunakan Pelindung Matahari (sunscreen)
Kulit boleh menjadi lebih kering apabila terdedah kepada sinaran matahari. Gunakan sunscreen SPF 30 ke atas walaupun tidak berada di luar rumah untuk melindungi kulit dari sinaran UV.
JADUAL RUTIN PENJAGAAN KULIT SUPAYA SENTIASA LEMBAP

Foto: Freepik
Untuk mengekalkan kelembapan kulit semasa Ramadan, anda boleh menyesuaikan rutin penjagaan kulit dengan mengambil kira waktu berpuasa dan waktu makan. Berikut adalah cadangan jadual penjagaan kulit yang sesuai:
* Sebelum Sahur (Awal Pagi)
– Cuci muka – Gunakan pencuci muka yang lembut dan tidak mengeringkan kulit, seperti yang mengandungi bahan pelembap (contoh: hyaluronic acid atau glycerin).
– Toner & Serum – Gunakan toner tanpa alkohol dan serum yang kaya dengan bahan pelembap seperti niacinamide atau hyaluronic acid untuk mengekalkan kelembapan kulit sepanjang hari.
– Pelembap – Gunakan pelembap berasaskan air atau gel untuk mengunci kelembapan kulit sebelum mula berpuasa.
– Sunscreen (Jika Keluar Awal Pagi) – Jika perlu keluar rumah selepas Subuh, sapukan pelindung matahari SPF 30 ke atas untuk melindungi kulit dari dehidrasi akibat sinaran matahari.
* Sepanjang Hari (Semasa Berpuasa)
– Elakkan mencuci muka terlalu kerap – Mencuci muka lebih daripada dua kali sehari boleh menghilangkan minyak semula jadi kulit dan menyebabkan lebih banyak kekeringan.
– Gunakan face mist – Jika kulit terasa kering, gunakan face mist yang mengandungi air mawar atau aloe vera untuk menyegarkan kulit tanpa mengganggu puasa.
– Elakkan solekan berat – Mekap tebal boleh menyumbat liang pori dan menyebabkan kulit lebih kering atau berminyak.
* Selepas Berbuka (Waktu Malam)
– Minum air secukupnya – Penghidratan dari dalam sangat penting, jadi pastikan minum sekurang-kurangnya 8 gelas air antara waktu berbuka dan sahur.
– Cuci muka – Bersihkan kulit dari minyak, kotoran, dan sisa mekap menggunakan pencuci muka lembut atau pembersih berasaskan minyak jika memakai mekap.
– Eksfoliasi (2-3 kali seminggu sahaja) – Gunakan skrub lembut atau exfoliant yang mengandungi AHA/BHA untuk menanggalkan sel kulit mati dan memastikan kulit menyerap pelembap dengan lebih baik.
– Serum & Pelembap Malam – Gunakan serum yang mengandungi bahan seperti hyaluronic acid, ceramide, atau vitamin E untuk membantu membaiki dan menghidrat kulit sepanjang malam.
– Sleeping Mask (Jika Perlu) – Untuk kulit yang sangat kering, gunakan sleeping mask atau krim malam yang lebih tebal sebelum tidur untuk mengunci kelembapan.
Akhir sekali, pakar MENGINGATKAN untuk anda elakkan penggunaan telefon atau skrin sebelum tidur kerana cahaya biru boleh mengganggu pengeluaran melatonin (hormon tidur). Amalkan teknik pernafasan atau bacaan doa sebelum tidur untuk membantu tubuh dan minda lebih tenang!

Terima kasih Dr. Rani Manohari atas segala informasi yang disampaikan.
Baca juga: Tanda-Tanda Anda Kena Mandi Bunga, Terus Jadi Cantik & Wangi…Barulah Jodoh ‘Nampak’!
Sumber: Prince Court Medical Centre
